Showing posts with label Liverpool FC. Show all posts
Showing posts with label Liverpool FC. Show all posts

Tuesday, May 3, 2011

Petikan Akhbar Mingguan Metro: Meireles dikagumi


Meireles dikagumi


PENGURUS Liverpool, Kenny Dalglish menegaskan persembahan mengagumkan pemain tengah Raul Meireles sejak akhir-akhir ini adalah kerana pemain itu sendiri yang berjaya menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris.
Bos Reds itu berkata beliau bukannya ‘pakar taktikal’ dan empat gol pemain Portugal itu dalam lima perlawanan terakhirnya adalah hasil kerja keras pemain berusia 27 tahun itu.

Meireles tidak menemui sasaran dalam 21 perlawanan pertamanya selepas menyertai Liverpool dari FC Porto pada musim panas lalu dengan bayaran perpindahan �11.5 juta (RM56 juta) tetapi kini tiba-tiba dia sudah mula menggegar di depan pintu gol lawan.

Dia ditugaskan dengan peranan di bahagian tengah, sering kali bersama kapten, Steven Gerrard dan kadang-kadang secara bersendirian, dan kini dia dianggap pemain paling menyerlah dalam tempoh sebulan ini.

“Raul memang memiliki keupayaan seperti yang dipamerkannya baru-baru ini,” kata Dalglish.

“Mungkin dia berjaya menyesuaikan diri dan lebih selesa dan yakin kerana dia bermain dengan baik tapi tidak ada sebarang perubahan drastik (secara taktikal) buat mana-mana pemain sebenarnya.


“Memang menakjubkan melihat Raul bertindak cemerlang. Dia adalah seorang pemain bola sepak yang berbakat besar, dia sentiasa memiliki apa yang kita saksikan sekarang dan dia menjaringkan gol.” Meireles tidak diragui mendapat faedah kerana diberikan peranan yang biasa buatnya, selepas bermain di posisi sayap kanan ketika era Roy Hodgson sebelum ini.

Apabila Dalglish mengambil alih awal bulan lalu, ramai yang mempersoalkan sama ada beliau yang tidak menguruskan pasukan lebih sedekad mampu menangani tuntutan bola sepak moden.


Pengurus berbangsa Scotland berusia 59 tahun itu sering menegaskan bola sepak tidak banyak berubah dan kejayaan terbaru mereka adalah hasil usahanya mengembalikan semula falsafah ‘pass-and-move’ yang diamalkan ketika zamannya sebagai pemain di kelab itu dan sebagai pengurus lebih 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas membawa masuk jurulatih Steve Clarke, pembantu Jose Mourinho di Chelsea, Dalglish membuktikan beliau juga mampu untuk membuat keputusan taktikal penting.

Dalam dua perlawanan terakhir mereka menentang Stoke City dan Chelsea, beliau menurunkan tiga pertahanan tengah dalam formasi 3-4-2-1 dan 3-5-1-1. - Agensi

Petikan Akhbar Berita Harian Ahad: Reina tak minat United


Reina tak minat United




PENJAGA gol Liverpool, Pepe Reina membayangkan dia akan kekal di Anfield musim depan.
Masa depan bintang dari Sepanyol itu di Merseyside menjadi bahan bualan ramai sejak akhir-akhir ini selepas kempen tidak menentu Reds.

Reina sebelum ini pernah memberikan bayangan dia mungkin terpaksa meninggalkan kelab itu sekiranya mereka tidak mampu untuk bersaing merebut kejuaraan secara konsisten.

Bagaimanapun, Reina terangsang dengan peningkatan pasukan di bawah kendalian Kenny Dalglish dan dia percaya pemilik kelab dari Amerika, Fenway Sports Group akan mengeluarkan peruntukan untuk memantapkan skuad musim panas ini.

“Saya gembira, tenang dan selesa di sini,” kata Reina.

“Saya yakin keadaan pasti lebih bagus selepas ini dan harapnya projek baru dengan pemilik Amerika (Fenway Sports Group) adalah sesuatu yang menakjubkan.


“Memang benar (Rafael) Benitez membawa saya ke sini tapi ia tidak bermakna saya tidak gembira dengan (Kenny) Dalglish. Saya fikir beliau adalah pengendali paling sesuai buat Liverpool ketika ini.

“Daripada pemahaman saya dan berdasarkan apa yang saya kumpulkan daripada orang di sini, kami akan membawa masuk beberapa pemain penting, terus meningkat dan harapnya dalam satu atau dua tahun kami akan berada di tempat yang berhak diduduki Liverpool, iaitu bersaing merebut kejuaraan.” Reina sudah disebut-sebut sebagai sasaran musuh tradisi Liverpool, Manchester United, namun bekas penjaga gol Barcelona dan Villarreal itu menegaskan dia tidak bercadang untuk berhijrah ke Old Trafford.

“Saya tidak akan ke Manchester, ia bukannya hasrat saya,” katanya. “Saya tidak tahu sekiranya saya calon buat mereka, saya yakin mereka sudah menilai ramai penjaga gol, bukan setakat (David) De Gea atau Reina.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...