Tuesday, August 25, 2009

Benitez pertahan pemain, sistem (Utusan)



Fernando Torres (dua dari kanan) merembat ke arah gol Aston Villa untuk menyumbangkan gol tunggal pada pertembungan Liga Perdana England antara mereka dan Aston Villa di Anfield, kelmarin. Liverpool kalah 1-3. - REUTERS

LIVERPOOL, Sepanyol - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez mempertahankan pemain-pemain dan sistemnya, biarpun pasukan itu kalah dalam dua daripada tiga perlawanan pertama musim baru.

Skuad Reds tewas 2-1 kepada Tottenham pada perlawanan pembukaan dan tewas sekali lagi 3-1 kepada Aston Villa di Anfield, semalam.

Benitez hilang tonggak tengahnya, Xabi Alonso kepada Real Madrid dan hanya berjaya membawa masuk Glen Johnson dan Alberto Aquilani, yang terpaksa direhatkan kira-kira enam minggu akibat kecederaan.

Liverpool juga membeli pemain pertahanan Greece, Sotirios Kyrgiakos pada saat akhir hanya sebagai langkah berjaga-jaga ekoran ramai pemainnya dihimpit kecederaan.

Kewangan Liverpool yang terhad menyaksikan mereka sukar membuat pembelian baru, dan satu-satunya kemenangan yang dicatat pasukan itu adalah menundukkan Stoke City 4-0, minggu lalu.

Benitez terikat dengan sistem yang sama, sekalipun Alonso sudah pergi, namun jurulatih Sepanyol itu menegaskan, mereka masih mampu memberi cabaran biarpun hanya mengutip tiga mata daripada tiga perlawanan pertama.

"Sasaran kami adalah untuk menang ke atas Bolton, itu saja. Kami tidak bercakap mengenai perkara lain.

"Semuanya boleh berubah. Perlawanan pertama menentang Tottenham, jika kami diberikan penalti yang sepatutnya, dan perlawanan ini, termasuk jika kami berjaya mendapat gol awal seperti bertemu Stoke ia boleh membawa perbezaan.

"Apa pun, kami tidak bermain baik dan kami banyak melepaskan bola kepada pasukan yang lebih baik dalam serangan balas, itu yang membezakannya,'' ujar Benitez.

Walaupun gagal menguatkan pasukan menerusi pembelian pemain baru, namun Benitez menegaskan pasukan yang sedia ada sudah cukup baik.

"Dengan pasukan ini, kami berjaya memenangi banyak perlawanan tahun lalu dan kami perlu melakukan perkara yang sama tahun ini.

"Saya fikir apabila anda kalah, anda mahu perubahan untuk mencari kemenangan. Kami kalah kepada Tottenham dan menang ke atas Stoke, sekarang kami akan cuba menang ke atas Bolton.

"Kami pernah mengharungi setahun dengan formasi yang sama dan mengutip 86 mata. Sekarang kami akan melakukan perkara yang sama, persoalannya cuma kami perlu lebih tajam dan menjaringkan gol bila berpeluang,'' katanya lagi.

Villa mengutip tiga mata di Anfield, terima kasih kepada jaringan sendiri Lucas dan tandukan Curtis Davies selepas Fernando Torres menjaringkan gol tunggal Liverpool, manakala Ashley Young menyumbat gol ketiga Villa menerusi sepakan penalti. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...