Tuesday, August 25, 2009

Liverpool terus dirundung malang (Utusan)

LONDON – Liverpool mengalami kekalahan kedua daripada tiga perlawanan pertama Liga Perdana England musim ini selepas tunduk 3-1 kepada Aston Villa di Anfield, kelmarin.

Jaringan sendiri Lucas Leiva dan tandukan Curtis Davies meletakkan Villa mendahului 2-0 pada babak pertama, sebelum Fernando Torres merapatkan jurang buat Liverpool menerusi jaringan pada minit ke-72.

Harapan Liverpool untuk bangkit sekurang-kurangnya berkongsi mata, musnah selepas ketua pasukan, Steven Gerrard menjatuhkan pemain tengah lawan, Nigel Reo-Coker untuk menghadiahkan penalti kepada Villa.

Ashley Young menewaskan penjaga gol, Pepe Reina dengan menyempurnakan penalti, 15 minit sebelum tamat perlawanan.

Ini merupakan kekalahan terbanyak Liverpool dalam tempoh seminggu, keadaan yang tidak pernah berlaku ketika mereka muncul naib juara di belakang Manchester United, musim lalu.

Malah, ia juga merupakan kekalahan pertama pasukan itu di Anfield sejak Disember, 2007.

“Pada 20 minit pertama, kami masih baik, tetapi semuanya tidak kena bila kami menjaringkan gol sendiri, ditambah gol kedua lawan (pada babak pertama). Sepakan penalti membuktikan semua tidak berpihak kepada kami,’’ kata pengurus pasukan Liverpool, Rafael Benitez kepada stesen radio BBC.

Villa, yang memberikan cabaran serius kepada empat pasukan teratas musim lalu tetapi diejek penyokong mereka selepas kalah kepada Wigan Athletic di tempat sendiri minggu lalu, berjaya mencari penawar di Anfield.

Kemenangan ke atas Liverpool nyata menggembirakan pengurus mereka, Martin O’Neill dan menjawab segala kritikan awal.

“Kami berusaha keras untuk perlawanan ini. Kami bertahan baik dan menembusi kubu lawan. Kami berjaya menjaringkan beberapa gol.

“Ia tidak menggembirakan apabila diejek penyokong sendiri. Pada separuh masa ketika menentang Wigan, kami diejek dan saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku,’’ kata O’Neill.

Liverpool mendominasi awal perlawanan tetapi ketinggalan selepas minit ke-34 apabila sepakan percuma Young ditanduk masuk oleh Lucas dalam gawang sendiri.

Keadaan bertambah buruk buat tuan rumah apabila Davies yang tidak dikawal menanduk bola ke penjuru pintu gol Liverpool.

Biarpun semakin tertekan pada babak kedua, Liverpool tetap melakukan percubaan dan Dirk Kyut menanduk bola yang terkena tiang, manakala Torres mengalahkan penjaga gol Villa, Brad Friedel untuk kedudukan 2-1.

Sikap terburu-buru Gerrard melengkapkan hari buruk Liverpool, apabila dia mengkasari pemain lawan untuk menghadiahkan Villa sepakan penalti yang disempurnakan oleh Young. – AFP

2 comments:

Amirul Idham said...

sedih hati tgk liverpool dah 2 kali kalah ni..
aku harap the reds akan bangkit kembali...


http://liverpool-malaysia.blogspot.com/

YNWA

Unknown said...

Yep! This what we hope..
TheRedsOne

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...