LONDON – Penantian Liverpool untuk mencatat kemenangan ke atas Manchester United di hadapan peminat sendiri akhirnya tercapai semalam apabila jaringan lewat pemain gantian, Ryan Babel memberikan kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan Liga Perdana England itu.
Skuad Rafael Benitez itu tewas tujuh daripada lapan pertemuan dengan musuh tradisi mereka itu sejak 2004 dan semalam, The Reds dilihat bakal mengalami satu lagi kekalahan apabila penyerang baru United, Dimitar Berbatov mencipta peluang buat Carlos Tevez meledakkan gol pertama selepas tiga minit permainan bermula.
Begitupun, jaringan sendiri pertahanan Red Devils, Wes Brown pada babak pertama menyamakan kedudukan dan Babel, pemain yang dimasukkan selepas rehat, menjaringkan gol kemenangan The Reds 13 minit sebelum permainan tamat.
Kejayaan ini sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat Benitez ke atas United dalam aksi liga manakala hari malang buat Alex Ferguson pula terus berpanjangan apabila pertahanannya, Nemanja Vidic dibuang padang pada minit kecederaan kerana menyiku Xabi Alonso.
Benitez yakin kejayaan ke atas anak buah Ferguson ini mampu melonjakkan keyakinan pemainnya untuk memberi cabaran dalam perebutan gelaran Liga Perdana England yang kali terakhir dimenangi mereka pada 1990.
“Saya fikir kejayaan ini amat penting. Kedudukan kami dalam liga sudah baik tapi sekarang ia lebih bagus,” kata Benitez.
“Kemenangan ini juga amat penting untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan pemain sekali gus membuktikan yang kami mampu beraksi dengan baik menentang pasukan yang hebat.
“Respons pemain juga sangat bagus. Kami ketinggalan di awal permainan, tapi pemain tampil hebat dan mampu mempamerkan karakter sebenar kami.
“Kami berjaya menyekat penguasaan United. Kami menjalankan tugas dengan baik pada babak pertama dan mengekalkan penguasaan pada babak kedua.”
No comments:
Post a Comment