NGOG memberi gol pendahuluan Liverpool pada minit ke-13 dalam saingan EPL bertemu Birmingham di Anfield, kelmarin. Perlawanan berkesudahan terikat 2-2. |
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Rafael Benitez (gambar kecil) masih percaya bahawa pasukannya boleh mengejar buruan mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) di sebalik hakikat mereka sudah ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Chelsea.
Kelmarin, The Reds nyaris dipalit kecewa di gelanggang sendiri apabila bangkit untuk seri 2-2 ketika menentang Birmingham City dan kini hanya memenangi satu perlawanan daripada jumlah sembilan perlawanan.
Satu mata dimenangi Liverpool turut dipertikai pemain Birmingham yang marah ketika beranggapan pemain tuan rumah, David Ngog sengaja merebahkan badan untuk mendapat sepakan penalti yang kontroversi disempurnakan ketua pasukan, Steven Gerrard buat melegakan penyokong Anfield.
Walaupun masalah makin berganda di kelab berkenaan, pengurus berbangsa Sepanyol itu tegas berkata dia tidak cemas lagi.
"Saya memikirkan mengenainya selama tiga minggu terakhir sehingga sebulan, ia masih sama saja," kata Benitez. "Kami hanya memikirkan mengenai satu perlawanan pada satu-satu masa maka saya tidak boleh bercakap mengenai perkara lain. Hanya tiga mata dan saya tidak akan bercakap mengenai kedudukan atau liga.
"Kami menang enam perlawanan berturutan sebelum ini, dan walaupun dalam tekanan kami menang menentang Manchester United. Perwatakan pemain menakjubkan tetapi kami tidak dapat meraih tiga mata menentang Birmingham."
Benitez mengakui bahawa nasib malang Liverpool dengan kecederaan menjadi faktor utama dalam permulaan buruk mereka musim ini.
Ngog memberi gol pendahuluan untuk Liverpool minit ke-13 tetapi Christian Benitez menanduk masuk gol penyamaan minit ke-26 sebelum Cameron Jerom menyumbat gol pelawat minit ke-45. Gerrard menjadi penyelamat dengan gol minit ke-71. - AFP
No comments:
Post a Comment