LIVERPOOL – Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti percaya satu-satunya cara untuk menewaskan Liverpool pada pertemuan Liga Perdana England hari ini ialah dengan menyekat pemain tengah, Steven Gerrard.
Skuad The Blues akan kekal berada di tangga teratas Liga Perdana England dengan kelebihan sekurang-kuranganya lima mata andai berjaya menewaskan Liverpool hari ini.
Chelsea sekali lagi akan beraksi tanpa kelibat pemain tengah, Frank Lampard yang masih dibelenggu masalah kecederaan pangkal paha.
Begitupun, Michael Essien dan Florent Malouda masing-masing dijangka kembali memperkuatkan barisan pemain Chelsea. Ancelotti sendiri yakin pasukannya mampu mengulangi kejayaan paling bermakna menewaskan Liverpool musim lepas.
Dia percaya pemain tengah, Essien, John Obi Mikel dan Yuri Zhirkov akan memainkan peranan penting dengan menyekat kemaraan Gerrard yang dianggap sebagai pemain terbaik Liverpool oleh rakan sepasukannya sendiri, Jamie Carragher selepas menjaringkan hatrik ketika menentang Napoli dalam Liga Eropah minggu lepas.
“Kami harus memberikan 100 peratus untuk menang kerana Gerrard kini berada pada prestasi terbaik,” jelas Ancelotti.
“Kejayaan ke atas Napoli memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat mereka dan kami harus bersedia untuk memberikan saingan sengit dan kekal fokus sepanjang permainan.”
Ancelotti juga percaya kejayaan 2-0 Chelsea ke atas Liverpool Mei lalu tidak boleh dijadikan pengukur untuk pertemuan kali ini.
“Ia merupakan perlawanan paling penting musim lepas dan juga kunci kejayaan untuk kami muncul juara,” tambah Ancelotti.
“Namun kini kami berdepan dengan pasukan yang berbeza. Mereka kini mempunyai pengurus baru dan meskipun berdepan dengan beberapa masalah pada awal musim, namun mereka tetap bangkit dan mencatat kemenangan pada tiga perlawanan terakhir.
“Kami harus menganggap mereka sebagai salah satu pasukan terbaik di England dan kami akan berusaha untuk menewaskan mereka.” – AFP
No comments:
Post a Comment