LONDON - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez berharap anak buahnya
dapat melupakan memori pahit ekoran kekalahan 1-2 kepada Tottenham
Hotspur pada aksi Liga Perdana England Sabtu lalu menjelang pertemuan
menentang Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara di Anfield
awal pagi ini.
Skuad kendalian Benitez itu mencatat kekalahan pertama musim ini
selepas penyerang Spurs, Roman Pavlyuchenko meledak gol kemenangan pada
minit-minit akhir perlawanan di White Hart Lane.
Bagaimanapun skuad The Reds berpeluang untuk menebus kekalahan itu apabila dijadualkan berdepan Atletico.
Jika Liverpool melakar satu lagi kemenangan dalam saingan Kumpulan D
awal pagi ini diikuti dengan kekalahan PSV Eindhoven kepada Marseille,
anak buah Benitez akan menamatkan saingan di kedudukan dua teratas,
sekali gus layak ke pusingan kalah mati.
Kemenangan amat penting buat Liverpool kerana Benitez boleh
merehatkan beberapa pemain utamanya dalam dua lagi baki perlawanan
peringkat kumpulan.
Ia juga dianggap dapat memberi kelebihan buat Liverpool dalam memberi tumpuan perebutan gelaran Liga Perdana England musim ini.
"Sudah pasti kami mahu melayakkan diri ke peringkat kalah mati
secepat yang mungkin dan kemenangan esok (hari ini) akan menjamin
tempat kami," kata Benitez.
"Tetapi Atletico adalah sebuah pasukan yang hebat dan apabila
bermain di tempat lawan, mereka selalunya sangat berbahaya terutamanya
apabila melancarkan serangan balas yang pantas.
"Jika kami boleh menang, ia adalah satu keputusan yang penting bagi
kami. Jika kami berjaya memperoleh mata untuk melayakkan diri (ke
pusingan seterusnya), ia tidak akan memberi tekanan yang banyak kepada
kami.
"Tetapi saya yakin Atletico juga memikirkan perkara yang sama
seperti kami, mereka mahu memastikan bahawa mereka juga akan layak
secepat yang mungkin."
Sama seperti Liverpool, Atletico juga akan mengesahkan tempat dalam kelompok 16 pasukan terbaik jika menang di Anfield. - AFP
No comments:
Post a Comment