LIVERPOOL: Rafael Benitez menyaksikan anak buahnya
terkial-kial mengalahkan Portsmouth 1-0 kelmarin tetapi menegaskan
Liverpool mampu kekal di tangga teratas Liga Perdana England.
Jaringan
penalti Steven Gerrard pada minit ke-75 mengekalkan kelebihan tiga mata
pasukannya ke atas Chelsea yang membenam Hull City 3-0.
Benitez membuat empat pertukaran berbanding dengan pasukan yang menewaskan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge Ahad lalu.
Pengurus
Liverpool itu berkata: 'Ini merupakan satu peringatan kepada para
pemain dan sesiapa saja bahawa kami boleh membuat pertukaran dan tetap
menang.
'Selepas memenangi perlawanan di Chelsea dan kemenangan malam ini menjadi keutamaan.
'Kami mahu kekal di tangga teratas untuk tempoh yang lama.'
Sejauh
ini, Benitez masih keberatan hendak menurunkan secara bergilir
bintang-bintangnya - dasar yang mengakibatkan beliau menerima kecaman
musim lalu.
Tetapi jurulatih dari
Sepanyol itu akui: 'Dengan satu lagi perlawanan dalam masa tiga hari,
kami perlu menangani skuad dan para pemain dengan lebih berhati-hati.'
Bagi Tony Adams, yang menggantikan Harry Redknapp sebagai pengurus Portsmouth, kekalahan itu sungguh memilukan.
Tetapi
beliau enggan menyalahkan Papa Bouba Diop, yang terpegang bola agak
luar biasa - menumbuk bola menyusuli tendangan sudut Fabio Aurelio yang
hendak ditanduk Samy Hyypia - memberikan Liverpool gol kemenangan
tendangan penalti.
Adams berkata:
'Saya teringat ke sini bersama Arsenal dengan Ray Parlour menghadiahkan
tendangan penalti dalam perlawanan pertamanya.
'Melakukan kesilapan dan kecuaian dalam masa sedetik boleh membawa padah.
'Memanglah sukar untuk berpuas hati apabila anda tewas 0-1 tetapi pada perlawanan pertama memimpin pasukan, ia adalah okey.
'Jika mereka menunjukkan tahap komitmen saya akan berasa gembira.'
Selepas
'berjudi' dengan merehatkan Daniel Agger, Javier Mascherano, Albert
Riera dan Robbie Keane, pengurus Liverpool itu tidak menolak perubahan
terpaksa dibuat meskipun beliau menekankan akan memastikan kesebelasan
yang mantap.
'Jika anda bermain dalam Liga Juara-Juara (Eropah) dan pertandingan domestik, anda terpaksa menukar para pemain,' tegas Benitez.
'Jelas sekali ketika menentang Portsmouth dengan adanya dua atau tiga pemain ia boleh menambah kesegaran permainan kami.
'Kami
tahu perlawanan dengan Portsmouth adalah sukar. Jadi, kami menggunakan
pemain yang mempunyai kualiti yang berbeza. Kami perlu menukar pemain
dan kemudian mendapatkan huraiannya.
'Kami meneliti beberapa pilihan dan kami menaruh keyakinan bahawa kami dapat menjaringkan gol.'
Kini,
Benitez menaruh harapan penyerangnya dari Sepanyol, Fernando Torres,
akan pulih dan cergas apabila Liverpool bertandang ke Tottenham Hotspur
Sabtu ini.
Adams membuat keputusan
mengejut dalam perlawanan pertama memimpin Portsmouth dengan
mengetepikan penyerang Jermain Defoe, yang menjaringkan enam gol dalam
sembilan perlawanan Liga Perdana.
Bagaimanapun,
Adams berkata beliau tidak menghadapi masalah dengan penjaring utamanya
itu dan menjelaskan bahawa lima pemain adalah wajar bagi perlawanan ini
dengan terpaksa memilih antara Defoe dengan Peter Crouch.
Adams
menjelaskan: 'Saya membuat keputusan mengenai taktik permainan,
keputusan-keputusan dari segi teknikal, psikologi dan emosi.
'Saya
mahu Jermain menjadi penjaring utama Portsmouth dan akan mendorongnya
menjadi penjaring terbanyak dalam liga dan saya percaya beliau mampu
melakukannnya.
'Kami telah dibelasah dalam perlawanan-perlawanan di padang lawan.
'Kami tewas 0-3 di Braga dan 0-6 di tangan Manchester City.
'Saya bermain 4-5-1 menentang pendahulu liga dan sebab itu Jermain direhatkan. Jermain memberi sokongan penuh kepada saya.
'Jermain
memberikan sokongan 100 peratus kepada saya dan beliau cukup faham.
Minggu hadapan mungkin giliran Crouch pula direhatkan.' / The Sun,
Reuters
Rafael Benitez
No comments:
Post a Comment