Sunday, November 2, 2008

Kemenangan istimewa Spurs





PAVLYUCHENKO meledak gol kemenangan Spurs di White Hart Lane kelmarin.


LONDON - Pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp mengakui
kejayaan menewaskan Liverpool 2-1 pada aksi Liga Perdana England
kelmarin adalah satu kejayaan yang cukup luar biasa.

"Menewaskan pasukan hebat seperti Liverpool adalah sesuatu yang
sangat istimewa," jelas Redknapp merujuk kepada kemenangan kedua yang
diraih anak buahnya itu.


Pada aksi di Stadium White Hart Lane kelmarin, Liverpool terlebih
dahulu berada di hadapan menerusi jaringan awal Dirk Kuyt pada minit
ketiga.


Begitupun, pertahanan The Reds, Jamie Carragher melakukan
kesilapan dengan menjaringkan gol ke gawang sendiri pada minit ke-69
untuk kedudukan 1-1 sebelum Roman Pavlyuchenko muncul wira tuan rumah
dengan gol kemenangan pada lewat permainan.


"Kami bermula dengan seorang pemain di bahagian serangan, tetapi
gagal menembusi gawang Liverpool," tambah Redknapp yang kini telah
mengutip tujuh mata daripada tiga penampilan awalnya bersama Spurs.


"Jadi, kami menukar strategi dengan menurunkan dua penyerang pada babak kedua. Ia memberi lebih banyak pilihan kepada kami.


"Kami berjaya mencipta banyak peluang dan berjaya memberi tekanan kepada mereka."


Sementara itu, Rafael Benitez enggan menyalahkan anak buahnya di atas kekalahan pertama yang diraih musim ini.


"Kami sebenarnya telah menguasai permainan dan mencipta cukup peluang untuk meraih tiga mata," jelas Benitez.


"Namun, kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan dalam perlawanan seperti ini walaupun banyak peluang telah dicipta.


"Agak sukar untuk mempercayai keputusan ini kerana kami adalah
pasukan yang lebih baik daripada Spurs sepanjang permainan berlangsung."


Dengan kekalahan itu, Liverpool kini jatuh ke tangga kedua liga dan
berkongsi 26 mata bersama Chelsea. Spurs pula yang sebelum ini berada
di tangga tercorot liga melonjak ke tangga ke-18 dengan sembilan mata.
- Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...