Saturday, November 15, 2008

Makin kukuh

Makin kukuh




GERRARD menanduk masuk gol kedua Liverpool pada aksi menentang Bolton semalam.







LIVERPOOL – Liverpool terus mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga
Perdana England selepas kemenangan 2-0 ke atas Bolton Wanderers semalam.


Dengan kemenangan itu, Liverpool kini mengumpul 32 mata untuk memimpin kedudukan buat seketika.


Andai rentak cemerlang yang dipamerkan skuad bimbingan Rafael
Benitez itu terus dipertahankan, hajat besar mereka musim ini bakal
menjadi kenyataan.


Semalam, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dipergunakan
sepenuhnya oleh The Reds yang ghairah memburu jaringan sebaik wisel
permulaan dibunyikan.


Ancaman daripada pelbagai sudut dilihat mengundang tekanan kepada Bolton yang turut memiliki cita-cita besar musim ini.


Seperti diduga, Liverpool mudah meloloskan diri untuk gol pembukaan menerusi Dirk Kuyt sebelum berakhir aksi babak pertama.


Ia berpunca daripada hantaran Fabio Aurelio dan Kuyt yang berada pada kedudukan selesa mudah menyempurnakannya.


Selepas itu, asakan Liverpool semakin kencang tetapi peluang yang terhidang dinafikan kekentalan pertahanan lawan.


Begitupun, pada minit ke-73, Steven Gerrard membuktikan bahawa dia
adalah pemain serba boleh apabila menanduk masuk gol kedua Liverpool
menerusi gerakan dengan Fernando Torres.


Liverpool sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol menerusi Robbie
Keane, Gerrard dan Torres, namun percubaan mereka tidak menepati
sasaran.


Torres yang diturunkan sebagai pemain gantian pada separuh masa
kedua oleh Benitez kembali memperlihatkan sentuhan berbisanya malah
hampir mencatat nama sebagai penjaring tetapi percubaannya terkena
tiang gol.


“Apa yang lebih penting bagi kami ialah tiga mata. Kami tidak boleh
kehilangan mata jika mahu terus melontarkan tekanan kepada musuh kami.


“Pemain sudah faham apa yang kami mahu dan kesedaran itu telah mendorong mereka untuk terus bekerja keras.


“Kemenangan ini sangat bermakna selepas mengalami kehampaan dalam saingan Piala Liga empat hari lalu,” kata Benitez. – Reuters

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...