MADRID: Pengurus Liverpool, Rafael Benitez, mula
dicuit kebimbangan menjelang menentang Chelsea dalam pertandingan Liga
Perdana England di Stamford Bridge Ahad ini.
Ini
kerana tiga pemain utamanya - Steven Gerrard, Robbie Keane dan Xavi
Alonso - mengalami kecederaan semasa seri 1-1 dengan Atletico Madrid
dalam Liga Juara-Juara Eropah Kumpulan D dini hari semalam.
Keane
tampil sebagai penyumbang gol Liverpool pada minit ke-14 sebelum
Atletico menyamakan kedudukan melalui pemain sayap Portugal, Simao,
pada lewat permainan.
'Jika anda memberitahu saya belum perlawanan ini bahawa kami akan memungut tujuh mata, ia tentunya satu pencapaian yang baik.
'Malangnya,
kami bukan sahaja tercicir dua mata, malah juga dilanda masalah
kecederaan ke atas beberapa pemain utama,' ujar Benitez.
Gerrard, Alonso dan Robbie semuanya telah digantikan dalam separuh masa kedua.
Keane
mengalami kejang otot tetapi kecederaannya tidak dianggap serius.
Alonso mengalami kecederaan pada lututnya. Begitu juga dengan Gerrard.
'Ketiga-tiganya
kelihatan penat dan kami ingin mereka berada dalam kedudukan segar dan
100 peratus cergas (bagi pertemuan dengan Chelsea nanti),' tambah
Benitez.
Kedua-dua Liverpool dan
Atletico berkongsi kedudukan atas Kumpulan D dengan tujuh mata dan akan
bertemu lagi di Anfield pada 4 November.
Penyerang
Sepanyol, Fernando Torres, begitu ghairah mahu kembali cergas bagi
menghadapi perlawanan penting itu selepas mengalami kejang otot
gara-gara menyertai skuad nasionalnya dalam kelayakan Piala Dunia 2010.
Benitez mengakui ketiadaan Torres begitu dirasakan dalam perlawanan ini.
'Tentunya,
kami terjejas dengan ketiadaan Torres dalam pertemuan dengan Atletico
kerana beliau adalah pemain yang begitu istimewa.
'Tetapi
tiada guna nama Torres disebut kerana beliau tidak beraksi dalam
perlawanan itu. Terdapat terlalu banyak pertandingan antarabangsa dan
anda sendiri sudah tahu pandangan saya tentang perkara ini,' Benitez
menerangkan.
Mengulas lebih lanjut
tentang perlawanan itu, Benitez berkata: 'Kami menguasai separuh masa
pertama dan juga awal babak separuh masa kedua. Tetapi saya kecewa kami
gagal mengekalkan penguasaan tersebut.' / Reuters
Torres turut diketepikan ketika menentang 'The Blues' di Stamford Bridge Ahad ini
No comments:
Post a Comment