Tuesday, October 28, 2008

Liverpool perlu belajar hadapi tekanan

Liverpool perlu belajar hadapi tekanan




ALONSO menjadi sandaran utama Liverpool untuk menewaskan Portsmouth hari ini.







LIVERPOOL, England - Liverpool perlu belajar untuk menghadapi
tekanan ketika sedang selesa memimpin kedudukan teratas Liga Perdana
England selepas beberapa musim ketinggalan di belakang Manchester
United dan Chelsea.


Meskipun berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Chelsea sebanyak 86 perlawanan apabila menang 1-0 ke atas The Blues di Stamford Bridge Ahad lalu, perebutan gelaran liga masih lagi terbuka.


Malah kemenangan itu tidak akan memberi sebarang makna jika mereka tewas kepada Portsmouth di Anfield hari ini.


Tetapi, dengan harapan realistik untuk menamatkan penantian 18 tahun
kelab itu untuk memenangi gelaran liga, cabaran seterusnya akan menjadi
bukti kekuatan sebenar kelab Merseyside itu.


Selepas kehilangan pengurus Harry Redknapp yang berpindah ke
Tottenham Ahad lalu, Portsmouth bakal berdepan tugas sukar apabila
mereka berdepan anak-anak buah Rafael Benitez itu.


Xabi Alonso yang menjaringkan gol kemenangan di Old Trafford dan
pemain veteran Jamie Carragher berkata, Liverpool perlu bekerja lebih
keras bermula dari sekarang selepas mencatat keputusan yang baik di
Chelsea.


Alonso berkata: "Ia adalah satu kemenangan yang menarik untuk kami
tetapi ia hanya tiga mata. Tiga mata menentang Chelsea adalah sama
penting dengan tiga mata menentang Wigan Athletic dan tiga mata lagi
diperlukan menentang Portsmouth hari ini.


"Mereka semua sama penting, jadi kini kami perlu memikirkan mengenai
perlawanan Rabu ini (hari ini) dan seterusnya dengan tenang."


Carragher yang telah memenangi banyak gelaran bersama The Reds berharap akan memenangi satu trofi Liga Perdana England sebelum dia bersara.


Tetapi pemain berusia 30 tahun itu menegaskan, masih banyak yang
perlu dilakukan oleh Liverpool sebelum mereka mampu memenangi gelaran
Liga Perdana England.


"Kemenangan ke atas Chelsea sepatutnya melonjakkan keyakinan kami
tetapi kami menyedari bahawa perjalanan masih jauh," kata pemain
pertahanan itu. - AFP

Ref- KOSMO!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...