LONDON: Keyakinan diri merupakan kunci yang akan
membawa kejayaan kepada Liverpool dalam merebut kejuaraan Liga Perdana
England musim ini.
Pengurus Liverpool,
Rafael Benitez, menyatakan demikian selepas anak buahnya bangkit
mencatatkan kemenangan 3-2 pada minit-minit terakhir ke atas 10 pemain
Manchester City di padang lawan kelmarin.
Jurulatih
dari Sepanyol itu selanjutnya berkata kewibawaan yang ditunjukkan
Liverpool sungguh hebat semasa kelab Anfield itu meneruskan saingan
dengan pendahulu liga, Chelsea.
Chelsea
mengalahkan Aston Villa 2-0 di Stamfod Bridge untuk memungut mata yang
sama dengan Liverpool dan menduduki takhta liga dengan kelebihan
perbezaan gol.
Liverpool tercicir
0-2 sebelum Fernando Torres menyamakan kedudukan dengan dua gol dan
Dirk Kuyt pula menyumbatkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
'Keyakinan setiap pemain tentang kemampuan mereka dan pasukannya menjadi kunci kejayaan kami,' tegas Benitez.
'Pada
masa rehat, saya hanya memberitahu pasukan bahawa kami memerlukan satu
gol untuk bangkit dalam perlawanan ini. Kewibawaan dan azam kami
terserlah dalam separuh masa kedua, dan ia sungguh hebat.
'Secara fizikal, kami berada pada kedudukan yang baik dan para pemain cukup bersedia menghadapi setiap perlawanan.'
Stephen
Ireland meletakkan City di hadapan pada minit ke-19 dan Javier Garrido
menjadikan 2-0 menerusi tendangan percuma sebelum rehat.
Pengurus
City, Mark Hughes, yang begitu kecewa kerana pasukannya mensia-siakan
kelebihan dua gol, menyatakan kelabnya memerlukan pemainpemain baru
Januari ini jika mahu bersaing merebut tempat dalam Liga Juara-Juara
Eropah musim depan.
Dengan sokongan
kewangan Abu Dhabi United Group yang diketuai Sheikh Mansour, City mahu
memecahkan penguasaan empat pasukan terkemuka - Manchester United,
Chelsea, Arsenal dan Liverpool.
Ini hanya dapat dilakukan dengan menguatkan lagi skuadnya apabila tempoh pemindahan pemain dibuka lagi Januari ini.
Hughes
berkata: 'Orang ramai harus realistik kerana Liga Perdana baru saja
menjalankan beberapa perlawanan. Kami perlu bermain dengan konsisten
jika ingin mendapatkan keputusan yang dihajatkan.
'Pasukan kami masih lemah dan kami perlu bekerja keras mengatasinya apabila tempoh pemindahan pemain dibuka Januari nanti.'
Liverpool
kehilangan pemain pertahanan Slovakia, Martin Skrtel, pada minit ke-19
kerana kecederaan ligamen lutut, sementara pemain City, Pablo Zabaleta,
dibuang padang kerana melakukan kekasaran ke atas Xavi Alonso.
Ini menjejas kemantapan permainan City dan Liverpool memanfaatkan kelebihan seorang pemain dengan menguasai permainan.
Sementara
itu, Benitez menegaskan keputusannya tidak menurunkan Robbie Keane
dalam kesebelasan pertama atas sebab-sebab taktik permainan.
'Saya
memulakan permainan dengan Robbie di bangku simpanan kerana City
mempunyai padang besar dan begitu lebar, dan saya cuba menurunkan lebih
pemain di bahagian midfield,' jelasnya.
'Ini membolehkan Steven Gerrard bergerak lebih bebas.' / AFP
No comments:
Post a Comment