Wednesday, May 13, 2009

Gerrard terima anugerah FWA



GERRARD dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) buat pertama kali kelmarin.


LONDON - Kepimpinan Steven Gerrard sebagai kapten Liverpool tidak perlu dipersoalkan lagi.

Dia berjaya memimpin Liverpool untuk menjadi antara pencabar utama kejuaraan Liga Perdana England sejak beberapa musim lepas.

Disebabkan daya kepimpinannya yang tinggi itu, Gerrard telah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) buat pertama kali kelmarin.

Gerrard berjaya mengetepikan pencabarnya dari Manchester United, Ryan Giggs, Wayne Rooney, Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand menerusi undian ahli FWA.

Pemain berusia 28 tahun itu mengharungi musim ini sebagai penyerang kedua dengan gandingan hebatnya bersama Fernando Torres.

Dia telah menjaringkan 23 gol dalam semua kejohanan dan memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Liverpool pada kempen Eropah.

"Kami sangat gembira untuk mengiktiraf segala sumbangan Steven musim ini dengan anugerah berprestij kami ini," kata pengerusi FWA, Steve Bates.

"Steven mengharungi musim yang menakjubkan dan kerap kali menjadi pembangkit semangat terhadap kejayaan Liverpool muncul sebagai pencabar utama kejuaraan liga.

"Penulis sukan juga menganggap dia sebagai tunjang utama pasukan Liverpool dan seorang pemain yang sanggup memberi apa saja demi pasukannya."

Gerrard yang akan menerima anugerah tersebut pada majlis makan malam di London 20 Mei ini, menggantikan bintang United, Cristiano Ronaldo yang memenangi anugerah FWA pada 2007 dan 2008.

Pemenang terdahulu anugerah yang diperkenalkan pada 1948 itu ialah Bobby Charlton, Bobby Moore, George Best, Jurgen Klinsmann, Eric Cantona dan Thierry Henry. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...