Tuesday, May 5, 2009

Tidak perlu gusar

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Rafael Benitez menegaskan gandingan Sepanyol, Fernando Torres dan Xabi Alonso bakal kembali cergas untuk menghadapi pertarungan penentuan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas skuadnya terus memberi tekanan kepada pendahulu, Manchester United.

Torres, menjaringkan 16 gol untuk kelab itu musim ini, terlepas perlawanan kelmarin sewaktu Liverpool mencatat kemenangan 3-0 mengatasi Newcastle, apabila mengalami masalah ketegangan hamstring pada sesi latihan menjelang perlawanan di Anfield.

Rakan senegaranya, Alonso berada dalam kesebelasan utama tetapi terpaksa meninggalkan padang selepas diterjah pemain Newcastle kelahiran Liverpool, Joey Barton, menyebabkannya dibuang padang.

Alonso dibawa keluar meninggalkan padang dengan pengusung tetapi Benitez tidak mahu memperbesarkan kebimbangan pemain tengah itu akan terlepas beraksi tiga perlawanan terakhir musim ini.

Dia turut menegaskan Torres mungkin berada dalam senarai pemain di bangku simpanan tetapi mengambil keputusan untuk mempertaruhkan tahap kecergasannya pada peringkat penting seperti itu dalam musim ini.

“Torres berdepan masalah hamstring dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengetepikannya daripada skuad itu,” kata Benitez, selepas jaringan melalui Yossi Benayoun, Dirk Kuyt dan Lucas memastikan jurang tiga mata di belakang pendahulu, United dikekalkan.

“Kami terpaksa membuat keputusan sama ada meletakkannya di bangku simpanan kerana menurunkannya akan membuatkan keadaan lebih bahaya.

“Jika dia diletakkan di bangku simpanan, dia perlu memanaskan badan yang sempurna dan ia turut memberikan risiko. Kami menjangkakan adalah lebih baik untuk mengeluarkan mereka berdua.” 

Benitez berharap Torres akan cukup cergas untuk menghadapi perlawanan menentang West Ham, Sabtu depan, perlawanan perlu dimenangi oleh Liverpool jika mahu terus mencabar United untuk perebutan gelaran itu. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...