LONDON - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez berikrar bahawa mereka tidak akan berputus asa dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana England musim ini.
Pengendali dari Sepanyol itu juga bertekad untuk memberi tekanan kepada Manchester United meskipun baki musim ini kian hampir untuk ditamatkan.
The Reds mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas West Ham kelmarin dan ia sudah cukup menyakinkan Benitez bahawa skuad kendalian Alex Ferguson itu tidak mustahil untuk dikejar.
"Kami sedang melaksanakan tugas kami iaitu perlu mendapatkan tiga mata dan terus memberi tekanan ke atas mereka," kata Benitez.
"Kami perlu terus mencatat kemenangan. Jika kami dapat mengutip tiga mata dalam setiap perlawanan, maka kita tidak tahu apa yang akan berlaku."
Steven Gerrard meledak gol pembukaan pada minit pertama permainan di Upton Park dan perancang England itu menambah satu lagi gol menerusi penalti sebelum rehat.
Pemain sayap Belanda, Ryan Babel melengkapkan kejayaan The Reds dengan rembatannya pada minit ke-84.
Benitez juga mengakui keberkesanan gandingan Gerrard dan penyerang Sepanyol, Fernando Torres yang banyak menyumbang kejayaan pasukannya musim ini biarpun hanya 12 kali digandingkan musim ini.
"Kami telah menjaringkan gol dari segenap penjuru padang yang mana ia satu tanda positif, tapi jika kamu ada Gerrard dan Torres dalam pasukan kamu, ia akan membawa perbezaan yang besar," kata bekas pengurus Valencia itu.
Pengurus West Ham, Gianfranco Zola pula ragu-ragu mengenai peluang The Reds untuk memintas United dalam perebutan liga.
"Saya tidak rasa Manchester akan membiarkan takhta liga terlepas dari tangan mereka jika kita lihat pengalaman yang mereka miliki," kata Zola. - AFP
No comments:
Post a Comment