Wednesday, September 16, 2009

3 impian Stevie G

3 impian Stevie G




STEVEN Gerrard mendedahkan tiga impian utamanya ketika keazamannya untuk melakar kegemilangan bersama Liverpool tidak pernah luntur dimamah waktu.

Gerrard, 29, menjelaskan bahawa dia mahu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), satu lagi kejayaan Liga Juara-Juara Eropah dan kemenangan Piala Dunia bersama England.

Hanya selepas dia berjaya memenuhi tiga impian itu barulah dia akan mempertimbangkan mengenai kejurulatihan dan pengurusan pada penghujung kariernya sebagai pemain.

"Saya masih memiliki banyak impian, dan ia bermakna memenangi kejuaraan Liga Perdana kerana itulah sebenarnya satu-satu pingat yang belum ada dalam koleksi saya.

"Dan pasti bagus untuk bertanding pada satu kejohanan bersama England dan berjaya, ia bermakna Piala Dunia musim panas depan.

"Saya juga mahu melepasi setapak daripada suku akhir, yang bermakna paling jauh saya pernah pergi dalam kejohanan itu setakat ini.

"Kini saya mengidamkan penampilan pada separuh akhir dan perlawanan akhir. Dan saya mahu satu lagi kejayaan dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Mereka dapat saksikan reaksi saya ketika menjulang trofi itu pada 2005, betapa besar maknanya buat saya, rakan sepasukan saya dan penyokong setia kelab.

"Ia adalah malam paling indah sepanjang karier saya dan saya mahu menyamainya dan mengalami sekali lagi kemanisan kejayaan itu."

Apabila kariernya sebagai pemain berakhir - dan dia sudah membayangkan kontrak terkini yang akan berakhir ketika dia berusia 33 tahun adalah yang terakhir - Gerrard sudah merancang pelbagai kegiatan.

"Kini saya memikirkan mengenai apa yang akan saya lakukan pada penghujung karier nanti. Saya tidak lagi muda.

"Adalah menarik untuk terus membabitkan diri dalam permainan ini.

"Saya tidak pasti pada tahap mana sama ada sebagai pengurus atau jurulatih atau juga mungkin terbabit dengan media. Saya mahu terus terbabit kerana bola sepak adalah amat penting buat saya."


Kuyt guna 'bomoh'

Kuyt guna 'bomoh'

Susunan Hamdan Saaid
sukan@hmetro.com.my

DIRK Kuyt mendedahkan rahsia di sebalik statusnya sebagai 'King of the Kop' di Anfield.

Pengurus Liverpool, Rafael Benitez menggelar Kuyt “Mr Duracell” musim lalu kerana pemain Belanda itu tidak berhenti-henti berlari.

Kini Kuyt mendedahkan: “Sebelum setiap perlawanan di gelanggang sendiri, saya mempunyai seorang bomoh bernama Henk de Gier yang diterbangkan khas dari Belanda. Dia akan melakukan satu sesi bersama saya dan memastikan saya berada di atas padang dengan kecergasan dan mental terbaik.

“Dan Henk bukanlah seorang saja yang membantu saya. Sejak beberapa tahun saya menggunakan seorang haptonomis (terapi sentuhan). Saya suka melabur demi kecergasan dan kesihatan saya.

“Saya bermain lebih daripada 60 perlawanan musim lalu.

“Alasan saya mampu melakukannya adalah kerana saya menerbangkan bomoh ini.

“Ia bermula apabila saya mengalami zaman merudum di Liverpool pada 2008. Saya malah kehilangan tempat saya dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan Belanda.

“Sejak Henk merawat saya, saya sudah berlari seperti kereta api stim.

“Henk melakukan satu rawatan istimewa buat saya. Dia memanggilnya 'penggoncang'. Dia akan menghapuskan segala permasalahan fizikal saya dan dia akan mengendurkan badan saya.

“Dia sebenarnya bukan setakat mengurangkan kecederaan tapi juga membuang tekanan dan sakit kepala. Dia amat banyak membantu saya.”

Kuyt mengakui tekanan amat hebat buat anak buah Benitez untuk menamatkan penantian selama 20 tahun bagi merebut kejuaraan liga.

Dia berkata: “Seluruh kelab amat terdesak untuk memenangi kejuaraan.

“Jika kami berjaya memenangi kejuaraan liga musim depan, seluruh bandaraya Liverpool akan mengadakan parti keraian selama sebulan. Ia adalah pertarungan 18 sama dalam perebutan kejuaraan antara kami dengan Manchester United. Penyokong mahu kami mendahului kembali.

“Dan saya mempunyai perasaan yang mengagumkan bahawa kami berada di ambang satu musim yang hebat dengan perkara yang menakjubkan akan berlaku.

“Dalam trofi kabinet saya hanya ada satu pingat kerana memenangi Piala Belanda. Ia harus berubah di sini dan sekarang dengan Liverpool. Saya sudah menandatangani kontrak baru hingga 2012 dan tidak bercadang untuk beraksi buat kelab lain sebelum tempoh itu.

“Saya ada menerima tawaran lain daripada kelab-kelab di Eropah.

“Tapi ini bukanlah masanya untuk meninggalkan pasukan yang saya bantu untuk berkembang - kami harus menamatkan tugasan ini.”



>Profil

NAMA SEBENAR: Dirk Kuijt

TARIKH LAHIR: 22 Julai 1980

TEMPAT LAHIR: Katwijk aan Zee, Belanda

TINGGI: 1.83 meter

POSISI: Penyerang, sayap

KELAB SEKARANG: Liverpool

NOMBOR JERSI: 18

KARIER REMAJA:

> 1985-98 (Quick Boys)

KARIER SENIOR:

> 1998-2003 (Utrecht)

> 2003-2006 (Feyenoord)

> 2006-sekarang (Liverpool)

PASUKAN KEBANGSAAN:

> 2004-sekarang (Belanda)

> 53 perlawanan, 12 gol

Hajat Torres

Hajat Torres




KEBANYAKAN pemain handalan menganggap memenangi Liga Juara-Juara Eropah lebih penting daripada kejayaan di peringkat domestik.

Tapi, penyerang Liverpool, Fernando Torres mempunyai pandangan berbeza apabila mendedahkan sasaran utamanya musim ini ialah memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), bukannya Liga Juara-Juara.

Menurutnya, keutamaannya dalam memburu kejuaraan berubah tidak lama selepas menjejakkan kaki di Merseyside.

"Apabila saya mula-mula datang ke England, keutamaan saya ialah memenangi Liga Juara-Juara Eropah, tapi kemudian saya diberitahu peminat Liverpool bahawa sasaran saya itu silap," katanya.

"Mereka memberitahu saya: 'Kita perlu menjuarai EPL,' kerana Liverpool tidak memenanginya sejak hampir 20 tahun lalu.

"Kini, perasaan saya sama dengan mereka. Ia menjadi lebih penting kerana Manchester United memenanginya dengan jumlah yang sama dengan kami.

"Kami perlu mengatasi mereka musim ini."

Penyerang berusia 25 tahun itu juga bercakap mengenai bagaimana dia terasa seperti di 'rumah' sepanjang menyertai Liverpool dan keputusannya berpindah ke Anfield banyak dipengaruh reputasi hebat peminat The Reds.

"Liverpool bandar yang sentiasa sibuk. Pada hujung minggu, penduduknya akan ke Anfield bagi menyaksikan pasukan mereka beraksi. Mereka mahu 'bebas' daripada segala permasalahan yang membelenggu dengan menonton pasukan terbaik di England bermain.

"Saya mendapat tawaran dari banyak kelab, tapi saya lebih tertarik untuk menyertai Liverpool kerana reputasi penduduknya, penyokong dan sejarah pasukan. "Saya juga terdorong untuk membantu Liverpool menjadi salah satu kelab terhebat dunia semula," katanya.

Penyerang prolifik itu juga berpendapat jika Manchester City mahu menarik kehadiran pemain utama dunia, mereka terlebih dahulu perlu melayakkan diri bermain pada kejohanan peringkat Eropah.

"City terlebih dahulu perlu bermain di Liga Juara-Juara Eropah jika mahukan pemain utama menyertai mereka," katanya.

"Pemain mahu mereka dikenang dengan apa yang dimenangi dan sumbangannya kepada kelab.

"Selepas 10 tahun anda bersara, sudah pasti anda akan merujuk kembali kepada pingat dan trofi yang anda menangi.

"Anda mungkin ketika itu memiliki kereta dan rumah yang hebat, tapi perasaan janggal tetap akan timbul jika anda tidak memenangi kejuaraan penting."

Liverpool waspada

LIVERPOOL: Liverpool yang mendapat suntikan semangat menerusi perjanjian penajaan baru, akan memulakan kempen Liga Juara-Juara awal pagi esok dengan menentang kelab Hungary, Debrecen.

Selepas membelasah Burnley 4-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu, Liverpool akan berdepan cabaran lebih sengit ketika menentang Debrecen yang juga juara Hungary dan kelab itu sering beraksi cemerlang di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Turut bertanding di dalam Kumpulan E adalah kelab gergasi Perancis, Lyon dan kelab Itali, Fiorentina.

Pengurus Liverpool, Rafa Benitez berharap pemain tengah Argentina, Javier Mascherano akan kembali cergas untuk diturunkan.

Mascherano digantikan oleh Yossi Benayoun, Sabtu lalu yang bagaimanapun menarik minat Benitez apabila menjaringkan hatrik.

“Kami tahu Yossi adalah pemain berkualiti,” kata Benitez mengenai pemain antarabangsa Israel itu.

“Kami sudah melihat aksi hebatnya dan yakin dia mampu melakukan kesan serupa pada perlawanan lain apabila disenaraikan di dalam kesebelasan utama.

“Dia memang hebat serta memiliki pengalaman. Dia tahu bagaimana untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama.”

Mascherano mengalami kecederaan tulang pinggul ketika bermain untuk Argentina ketika kekalahan 1-0 di tangan Paraguay pada kempen kelayakan Piala Dunia, minggu lalu.

Liverpool pernah lima kali bergelar juara Eropah.

Gelaran terakhir mereka pada 2005 apabila menewaskan AC Milan di Istanbul. - AFP

Monday, September 14, 2009

Benayoun jawab kritikan peminat





LONDON - Yossi Benayoun (gambar) berjaya mengembalikan keyakinan Liverpool dalam perebutan memburu gelaran Liga Perdana England menerusi jaringan hatriknya kelmarin.

Ketika ramai pihak mempersoalkan keupayaan kelab Anfield itu untuk menjuarai gelaran tersebut musim ini, anak buah Rafael Benitez itu berjaya menjawab kritikan itu dengan aksi yang mengagumkan.

Benayoun menjadi wira The Reds dengan hatriknya itu selain mencipta peluang untuk Dirk Kuyt menjaringkan satu gol ketika membelasah Burnley 4-0 kelmarin.

Benitez puas hati dengan kejayaan anak buahnya itu dan turut memuji sumbangan pemain dari Israel itu.

"Yossi telah menjalani tugasan antarabangsa pada minggu lepas dan mempunyai jadual penerbangan yang padat, tapi dia tetap mahu beraksi," kata Benitez.

"Dia perlu membuktikan kualiti sebenarnya dalam setiap sesi latihan dan perlawanan.

"Sepanjang musim lepas dia telah menunjukkan kemampuannya sebagai pemain gantian dan kini dia membuktikan pula betapa pentingnya kemahiran dan pergerakannya di atas padang pada awal permainan."

Sementara itu Benitez juga yakin perancang Argentina, Javier Mascherano akan kembali cergas menjelang aksi dengan kelab Hungary, Debrecen pada kempen Eropah Khamis ini.

"Kecederaannya tidak begitu serius dan dia akan diturunkan." - Agensi

Penaja baru Liverpool (Kosmo)



PENGARAH Eksekutif Kumpulan Standard Chartered Bank, Gareth Bullock (kiri) bergambar bersama duta Liverpool, Kenny Dalglish (tengah) dan Pengarah Kelab Liverpool, Christian Purslow selepas majlis penajaan di Anfield kelmarin.


LONDON - Liverpool mengumumkan perjanjian penajaan jersi lumayan mereka kelmarin selepas menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Bank Standard Chartered.

Jenama bank dari Britain itu akan terpampang pada jersi The Redsbermula Julai 2010 menggantikan lambang minuman keras Denmark, Carlsberg yang menjadi penaja kepada juara Liga Perdana 18 kali itu sejak 1991.

Maklumat lanjut mengenai perjanjian itu tidak didedahkan, namun ia dipercayai bernilai sekitar £80 juta (RM465 juta).

"Peluang penajaan ini telah menarik banyak minat daripada pelbagai jenama lain yang diiktiraf di seluruh dunia," kata pengarah urusan Liverpool, Christian Purs- low.

"Dengan Standard Chartered, kami percaya kami memiliki rakan kongsi yang sesuai untuk memajukan dan membangunkan impian besar kami di kelab ini.

"Ia adalah satu petanda besar terhadap perkembangan yang kami lakukan di Liverpool iaitu dengan kejayaan kami mendapat satu perjanjian terbesar dalam sejarah pengiklanan kami."

Suntikan dana ini akan memberi peluang besar kepada pemilik bersama dari Amerika Syarikat, Tom Hicks and George Gillett Jr yang membeli Liverpool pada 2007, namun gagal menggunakan reputasi terkenal mereka bagi memperoleh keuntungan menerusi perjanjian penajaan.

Liverpool adalah kelab paling berjaya dalam bola sepak Britain dengan memenangi 18 kejuaraan liga dan lima trofi Eropah. - AP

Friday, September 11, 2009

Tutup mulut pengkritik - Benitez (Kosmo!)





LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez (gambar) menuntut anak buahnya menutupkan mulut pengkritik yang mengatakan harapan mereka untuk menjulang trofi Liga Perdana England musim ini sudah berakhir.

Naib juara musim lalu itu tewas dua daripada tiga perlawa- nan pertama mereka sebelum jaringan lewat Steven Gerrard menyelamatkan maruah Liverpool untuk menewaskan Bolton Wanderers 3-2 pada aksi keempat minggu lalu.

Malam ini, Liverpool bakal melayan kunjungan pendatang baru, Burnley di Anfield dan Benitez menegaskan, masih terlalu awal untuk menyatakan mereka sudah gagal untuk memburu kejuaraan pertama liga selepas tempoh 20 tahun.

"Kamu tidak boleh menjulang piala pada September. Jadi kamu perlu terus berjuang sehingga Januari dan melihat di mana kedudukan kamu. Kemudian pada April dan Mei, kamu masih perlu terus memberi saingan.

"Kami tidak dapat beraksi pada tahap sebenar tetapi diharapkan kemenangan ke atas Bolton tempoh hari dapat menaikkan semula keyakinan pemain.

"Kami perlu tumpukan satu perlawanan pada sesatu masa, cuba mendapatkan tiga mata penuh dan kemudian barulah melihat di mana kedudukan kita pada setiap minggu itu," kata Benitez.

Benitez turut menganggap Burnley bakal memberi saingan sengit kepada anak buahnya memandangkan lawan mereka itu telah berjaya memalukan Manchester United dan Everton musim ini.

"Burnley sebuah pasukan yang hebat dan pemainnya saling mengenali satu sama lain. Kejayaan menewaskan United dan Everton membuktikan mereka mampu melakukan yang terbaik," jelas Benitez. - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...