Wednesday, September 16, 2009

Hajat Torres

Hajat Torres




KEBANYAKAN pemain handalan menganggap memenangi Liga Juara-Juara Eropah lebih penting daripada kejayaan di peringkat domestik.

Tapi, penyerang Liverpool, Fernando Torres mempunyai pandangan berbeza apabila mendedahkan sasaran utamanya musim ini ialah memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), bukannya Liga Juara-Juara.

Menurutnya, keutamaannya dalam memburu kejuaraan berubah tidak lama selepas menjejakkan kaki di Merseyside.

"Apabila saya mula-mula datang ke England, keutamaan saya ialah memenangi Liga Juara-Juara Eropah, tapi kemudian saya diberitahu peminat Liverpool bahawa sasaran saya itu silap," katanya.

"Mereka memberitahu saya: 'Kita perlu menjuarai EPL,' kerana Liverpool tidak memenanginya sejak hampir 20 tahun lalu.

"Kini, perasaan saya sama dengan mereka. Ia menjadi lebih penting kerana Manchester United memenanginya dengan jumlah yang sama dengan kami.

"Kami perlu mengatasi mereka musim ini."

Penyerang berusia 25 tahun itu juga bercakap mengenai bagaimana dia terasa seperti di 'rumah' sepanjang menyertai Liverpool dan keputusannya berpindah ke Anfield banyak dipengaruh reputasi hebat peminat The Reds.

"Liverpool bandar yang sentiasa sibuk. Pada hujung minggu, penduduknya akan ke Anfield bagi menyaksikan pasukan mereka beraksi. Mereka mahu 'bebas' daripada segala permasalahan yang membelenggu dengan menonton pasukan terbaik di England bermain.

"Saya mendapat tawaran dari banyak kelab, tapi saya lebih tertarik untuk menyertai Liverpool kerana reputasi penduduknya, penyokong dan sejarah pasukan. "Saya juga terdorong untuk membantu Liverpool menjadi salah satu kelab terhebat dunia semula," katanya.

Penyerang prolifik itu juga berpendapat jika Manchester City mahu menarik kehadiran pemain utama dunia, mereka terlebih dahulu perlu melayakkan diri bermain pada kejohanan peringkat Eropah.

"City terlebih dahulu perlu bermain di Liga Juara-Juara Eropah jika mahukan pemain utama menyertai mereka," katanya.

"Pemain mahu mereka dikenang dengan apa yang dimenangi dan sumbangannya kepada kelab.

"Selepas 10 tahun anda bersara, sudah pasti anda akan merujuk kembali kepada pingat dan trofi yang anda menangi.

"Anda mungkin ketika itu memiliki kereta dan rumah yang hebat, tapi perasaan janggal tetap akan timbul jika anda tidak memenangi kejuaraan penting."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...