Wednesday, September 16, 2009

3 impian Stevie G

3 impian Stevie G




STEVEN Gerrard mendedahkan tiga impian utamanya ketika keazamannya untuk melakar kegemilangan bersama Liverpool tidak pernah luntur dimamah waktu.

Gerrard, 29, menjelaskan bahawa dia mahu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), satu lagi kejayaan Liga Juara-Juara Eropah dan kemenangan Piala Dunia bersama England.

Hanya selepas dia berjaya memenuhi tiga impian itu barulah dia akan mempertimbangkan mengenai kejurulatihan dan pengurusan pada penghujung kariernya sebagai pemain.

"Saya masih memiliki banyak impian, dan ia bermakna memenangi kejuaraan Liga Perdana kerana itulah sebenarnya satu-satu pingat yang belum ada dalam koleksi saya.

"Dan pasti bagus untuk bertanding pada satu kejohanan bersama England dan berjaya, ia bermakna Piala Dunia musim panas depan.

"Saya juga mahu melepasi setapak daripada suku akhir, yang bermakna paling jauh saya pernah pergi dalam kejohanan itu setakat ini.

"Kini saya mengidamkan penampilan pada separuh akhir dan perlawanan akhir. Dan saya mahu satu lagi kejayaan dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Mereka dapat saksikan reaksi saya ketika menjulang trofi itu pada 2005, betapa besar maknanya buat saya, rakan sepasukan saya dan penyokong setia kelab.

"Ia adalah malam paling indah sepanjang karier saya dan saya mahu menyamainya dan mengalami sekali lagi kemanisan kejayaan itu."

Apabila kariernya sebagai pemain berakhir - dan dia sudah membayangkan kontrak terkini yang akan berakhir ketika dia berusia 33 tahun adalah yang terakhir - Gerrard sudah merancang pelbagai kegiatan.

"Kini saya memikirkan mengenai apa yang akan saya lakukan pada penghujung karier nanti. Saya tidak lagi muda.

"Adalah menarik untuk terus membabitkan diri dalam permainan ini.

"Saya tidak pasti pada tahap mana sama ada sebagai pengurus atau jurulatih atau juga mungkin terbabit dengan media. Saya mahu terus terbabit kerana bola sepak adalah amat penting buat saya."


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...