Friday, December 26, 2008

'Gunakan kelebihan di Anfield'












LUCAS (kiri) tuntut semangat juang daripada pemain Liverpool ketika
beraksi di gelanggang sendiri.







LIVERPOOL - Bintang tengah Liverpool, Lucas Leiva memberi amaran kepada skuad The Reds
itu bahawa mereka tidak boleh lagi keciciran mata di Anfield andai
berhajat menamatkan penantian 19 tahun untuk meraih gelaran liga.


Liverpool yang masih mengekalkan status pendahulu liga akan berdepan
Bolton dalam kempen Liga Perdana England hari ini selepas melakar tiga
keputusan seri di gelanggang sendiri ketika menentang Fulham, West Ham
dan Hull.


Kelebihan yang dimiliki skuad kendalian Rafael Benitez itu setakat
ini adalah kejayaan mereka menewaskan juara bertahan, Manchester United
dan pencabar utama, Chelsea sebelum ini.


Begitupun, Benitez gagal untuk mengukuhkan kedudukan anak buahnya di
persada liga selepas hanya meraih satu mata ketika berdepan sepuluh
pemain Arsenal di Emirates minggu lalu.


"Kami sepatutnya menewaskan Arsenal Ahad lalu, tetapi kami kini
perlu fokus kepada perlawanan seterusnya dan cuba untuk mengutip tiga
mata ketika berdepan Bolton di Anfield," jelas Lucas.


"Setakat ini, kami telah mencatat tiga keputusan seri berturut-turut
di gelanggang sendiri dan amat penting untuk memenangi perlawanan esok
(hari ini).


"Liverpool kini mengungguli saingan liga dan apa perlu adalah terus
kekalkan keyakinan dan lakukan kerja kami dengan baik," tambahnya.


Menariknya, pertembungan di Anfield hari ini bakal menyaksikan
kehadiran semula Benitez yang terlepas aksi di Emirates minggu lalu
selepas menjalani pembedahan batu karang minggu lalu.


Penyerang Sepanyol, Fernando Torres juga berpeluang untuk membuat
penampilan selepas hampir sebulan diketepikan gara-gara kecederaan
hamstring. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...