KL: Kelibat pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool mungkin dapat disaksikan buat pertama kali di Malaysia oleh peminat tempatan tahun depan, apabila skuad tersebut bertandang ke Stadium Shah Alam bertemu skuad Selangor bagi sesi pemanas badan kempen 2009/2010 mereka.
Pengurus pasukan bola sepak Selangor, Zakaria Ab Rahim berkata, hasil perbincangan dengan pihak syarikat promosi kejohanan, Football Focus Group Ltd yang berpengkalan di Hong Kong, mereka berminat untuk membawa pasukan dari utara England itu ke Selangor.
"Cuma masalahnya, kalau ikut peraturan tempatan mereka tidak boleh menggunakan lambang penaja (sebuah syarikat arak) pada jersi mereka sekiranya bermain di Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Syarikat promosi itu dipercayai sedang berbincang dengan pengurusan kelab Liverpool berkaitan perkara itu untuk menyelesaikan masalah itu, katanya.
"Saya difahamkan mereka boleh mengambil beberapa opsyen yang tidak menyalahi peraturan di Malaysia," katanya.
Zakaria berkata, sekiranya semua masalah berkenaan dapat diselesaikan, Liverpool dijangka bertandang ke Malaysia pada penghujung Julai atau awal Ogos tahun depan. / Bernama
No comments:
Post a Comment