Penjara lima tahun menanti Gerrard
LONDON - Bintang bola sepak England, Steven Gerrard bakal berdepan
hukuman penjara sehingga lima tahun selepas dituduh mendatangkan
kecederaan dalam satu pergaduhan yang menyaksikan seorang Disk Jockey (DJ) cedera dipukul pagi kelmarin.
Gerrard, 28, ditahan bersama lima lagi lelaki selepas pergaduhan tersebut tercetus di sebuah bar di Southport.
DJ sambilan, Marcus McGee, 34, menerima empat jahitan di kepalanya.
Darah dan kaca pecah bertaburan masih boleh dilihat di lantai kelab
malam tersebut selepas pergaduhan yang menyaksikan perancang Liverpool
itu ditahan polis.
Gerrard dikatakan bersama rakan-rakannya meraikan kemenangan The Reds membelasah
Newcastle 5-1 Ahad lalu dan dia disoal siasat selama sembilan jam atas
tuduhan mencederakan dan mencetuskan kekecohan.
Difahamkan terdapat satu pertengkaran berlaku melibatkan pemain itu dengan Marcus yang menggantikan DJ sebenar.
Ketika Marcus memainkan lagu, Gerrard pula dikatakan meminta lagu
lain dimainkan. Namun dia enggan mengikut kemahuan Gerrard itu kerana
ia melanggar polisi kelab itu.
"Marcus menolak Gerrard di dada dan secara tidak sengaja Gerrard menyiku mulut Marcus," jelas seorang pengunjung.
"Gerrard kemudian berundur dan cuba beredar, tapi rakan-rakannya
terus menyerang Marcus dan seorang daripada mereka memukul kepala
Marcus dengan botol. Semuanya terjadi dalam masa kurang daripada 10
saat.
"Gerrard kemudian terpaksa ditarik keluar dari pergaduhan itu dan semuanya bertukar menjadi kelam-kabut.
"Orang semua mengelilingi Marcus kerana bajunya yang terang telah dikotori dengan darah." - Agensi
No comments:
Post a Comment