30 Dec 2008 12:59AM
Oleh Saparin Rasikin
LIVERPOOL akan menyambut Tahun Baru 2009 dengan menduduki takhta Liga Perdana England.
Dengan dua gol Steven Gerrard, pendahulu liga itu meneruskan kecemerlangannya di padang lawan dengan menundukkan Newcastle United 5-1 malam tadi.
Kecemerlangan penjaga gawang Newcastle, Shaw Given, tidak cukup untuk menyelamatkan pasukannya yang turut dibolosi menerusi tandukan Sami Hyypia, Ryan Babel, dan tendangan penalti pemain gantian, Xabi Alonso.
Gol tunggal Newcastle dijaringkan oleh David Edgar, yang memberikan tendangan penalti kepada Liverpool dengan menjatuhkan pemain gantian, David Ngog.
Liverpool mengejutkan ramai dengan tidak menyertakan penyerang Robbie Keane, yang berjaya mengembalikan ketajamannya dalam dua perlawanan lalu, dalam kesebelasan utamanya.;
Bagaimanapun, pasukan pelawat ternyata gagah dengan menguasai permainan dan melancarkan serangan hebat yang pantas ke kubu Newcastle.
Dan Liverpool hampir membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi percubaan Dirk Kuyt menerusi sudut yang sukar tetapi penjaga gawang Shaw Given berjaya menyelamatkannya.
Pertahanan 'bidan terjun' pasukan Newcastle terus digugat menerusi percubaan Ryan Babel, diikuti oleh dua percubaan Gerrard pada minit ke-11 dan ke-14 tetapi Given berjaya menyelamatkannya.
Pada minit ke-18, Lucas memperolehi dua peluang keemasan dari jarak dekat tetapi Given terus bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya.
Bagaimanapun, ketangkasan Given tidak dapat menyelamatkan gol pembukaan Liverpool pada minit ke-31 apabila rembatan kencang Gerrard, yang menerima umpanan silang Yossi Benayon, melewatinya dan terkena sebelum masuk ke dalam gawang.
Lima minit kemudian, Liverpool mengukuhkan kedudukan menerusi tandukan percuma Hyppia, yang menerima bola umpanan tendangan sudut kapten Gerrard.
Sedang Liverpool kelihatan sudah berada dalam kedudukan selesa, Newcastle mendapat tendangan sudut sejurus sebelum rehat dan berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Edgar.
Tetapi harapan Newcastle untuk terus bangkit terbantut apabila Babel mengembalikan kelebihan dua gol dengan menjaringkan gol ketiga Liverpool lima minit selepas rehat.
Liverpool terus mengasak dan membuktikan keunggulannya apabila Gerrard menjadikan 4-1 pada minit ke-66 selepas menerima umpanan Lucas, sebelum beliau digantikan empat minit kemudian.
Xabi Alonso, yang menggantikan Gerrard, melengkapkan kemenangan Liverpool dengan menjaringkan gol penalti pada minit ke-76.
" alt="Premier League" />
No comments:
Post a Comment