Tuesday, December 30, 2008

Liverpool semakin yakin bergelar 'champion'

LONDON: Liverpool mempunyai pemain-pemain berkaliber untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana England.

Kapten
Steven Gerrard melahirkan pandangan optimistik ini selepas pasukan
pimpinan Rafael Benitez membelasah Newcastle United 5-1 di St James'
Park kelmarin.

Beliau menyumbatkan
dua daripada gol-gol kemenangan tersebut dan tidak bernasib baik dua
lagi percubaan tepatnya diselamatkan oleh penjaga gawang Newcastle,
Shay Given.

Malah bintang midfield
England itu menegaskan Liverpool tidak akan mendapat peluang yang lebih
daripada ini untuk menjuarai liga ini.

Katanya:
'Ini pasukan terbaik pernah saya bermain. Kami mempunyai pemain-pemain
terkemuka dan mempunyai banyak ujian dan cabaran yang bakal dihadapi.

'Tetapi jika kami terus menunjukkan prestasi seumpama ini, kami akan mencapai sasaran.

'Anda
lihat di sekitar bilik persalinan - daripada penjaga gawang hingga ke
penyerang - kami mempunyai pemain-pemain yang hebat. Begitu juga dengan
keyakinan.

'Sejak beberapa waktu kebelakangan ini, kami mengancam untuk mencatat jaringan serupa ini.

'Kami mempunyai banyak peluang dalam perlawanan-perlawanan tertentu tetapi sentuhan agak kurang tajam di depan gawang.

'Kali
ini ia menjadi dan kami seharusnya mengecap kemenangan lebih besar.
Tetapi Shay Given seorang penjaga gawang kelas dunia dan menyelamatkan
beberapa percubaan.'

Dengan
kemenangan itu dan Chelsea pula seri 2-2 dengan Fulham, Liverpool
mengatasi pasukan di tangga kedua itu dengan kelebihan tiga mata.

'Kini kami meletakkan peluang kami dalam kedudukan yang baik untuk memenangi kejuaraan liga musim ini,' tambah Gerrard.

Liverpool
tidak pernah menjulang mahkota ini sejak 1990 - satu tempoh yang lama
bagi sebuah kelab yang mencatatkan rekod memenangi kejuaraan ini
sebanyak 18 kali.

Gerrard lebih
sedar daripada kebanyakan pemain dan pegawai di Anfield tentang betapa
bahayanya meningkatkan harapan jika impian tidak tercapai.

Bagaimanapun, keyakinan diri membuat beliau berani meramalkan kejayaan pada akhir musim ini.

'Kami
perlu mengekalkan permainan konsisten dan ia kunci kejayaan,' tegas
pemain berusia 28 tahun itu, yang membuat penampilan sulung bersama
Liverpool pada 1998.

'Jika kami mahu kekal di tangga atas dan terlibat dalam perebutan kejuaraan, maka kami perlu dapat menangani tekanan.'

Penolong pengurus Liverpool, Sammy Lee, akur dengan pandangan kapten pasukannya itu.

'Saya berasa kami mempunyai kemampuan memenangi kejuaraan,' kata bekas pemain midfield Liverpool dan England itu.

'Kami
mempunyai sekumpulan pemain yang kuat azam dan keyakinan diri yang
tinggi. Kami bukan mahu berlagak sombong tetapi kami sudah bersedia
berjaya dan bukannya menghadapi kegagalan.

'Anda
perlu bertanya kepada Manchester United (juara bertahan) dan Chelsea
(kini di tangga kedua) mesej yang mereka terima daripada persembahan
kami ini,' tambah Lee.

Benitez, yang
menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton, memutuskan
merehatkan Robbie Keane meskipun masih belum dapat menurunkan penyerang
utamanya, Fernando Torres, yang dihantui kejang otot paha.

'Kami
tidak mempunyai Robbie dan Fernando di padang tetapi kami sering
menyatakan ini merupakan permainan sepasukan,' tegas Lee. / The Sun, AFP





Steven Gerrard melahirkan pandangan optimistik ini selepas pasukan pimpinan Rafael Benitez membelasah Newcastle United 5-1

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...