Friday, February 6, 2009

Benitez diejek penyokong lawan



BENITEZ (kiri) terpaksa
menggantikan Steven Gerrard (tengah) dengan Yossi Benayoun selepas
pemain itu mengalami kecederaan pada aksi di Goodison Park kelmarin.




LONDON - Rafael Benitez bukan sahaja kecewa dengan kekalahan anak
buahnya kepada Everton kelmarin, malah pengendali dari Sepanyol itu
turut menjadi mangsa ejekan penyokong pasukan lawan.


Pada perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA di Goodison Park
itu, Liverpool tewas mengejut 0-1 kepada pasukan tuan rumah menerusi
jaringan tunggal Dan Gosling pada masa tambahan.


Namun, insiden paling memalukan apabila Benitez diejek penyokong Everton ketika dia mahu meninggalkan stadium tersebut.


Situasi itu tercetus ekoran beberapa kontroversi hangat yang dicetuskan Benitez sebelum ini.


Bulan lepas, Benitez dengan lantang melancarkan kritikan terhadap
Alex Ferguson selain menangguhkan perbincangan kontrak barunya dan
menjual semula Robbie Keane ke Tottenham pada perpindahan Januari lepas.


"Kami amat sedih dan kecewa. Untuk bermain dengan 10 orang terlalu
lama dan kalah kepada gol yang tertampan pada hujung permainan, kamu
pastinya sangat kecewa," kata Benitez merujuk kepada kad merah yang
dilayangkan kepada pemainnya, Lucas ketika permainan berbaki 14 minit.


"Titik-tolak kepada permainan ini ialah kad kuning kedua Lucas. Saya
tidak gembira dengan keputusan itu tapi saya tidak akan kata apa- apa
kepada pengadil."


Benitez juga berang dengan kenyataan pengurus Everton, David Moyes
sebelum perlawanan bahawa Liverpool selalu mendapat layanan yang
istimewa daripada pengadil.


"Tanya pengadil mengenai hal ini. Bagi kami, ia tidak penting kerana
ia tidak akan mengubah apa-apa," ujarnya ketika mengulas komen Moyes
itu yang mungkin mempengaruhi keputusan pengadil, Alan Wiley.


Bagi Everton, kemenangan ke atas Liverpool kelmarin membolehkan
mereka menentang Aston Villa pada pusingan kelima Piala FA selepas ini.
- Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...