WIRA Everton, Dan Gosling (kanan) meraikan jaringannya bersama Leighton Baines ketika menentang Liverpool dalam perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA, kelmarin. |
LONDON: Jaringan Dan Gosling ketika permainan berbaki dua minit pada waktu tambahan meletakkan Everton ke pusingan kelima Piala FA dengan kemenangan 1-0 ke atas Liverpool yang beraksi dengan 10 pemain, kelmarin.
Dengan penentuan sepakan penalti dilihat bakal menjadi pemisah dua pencabar Merseyside dalam perlawanan ulangan mereka itu, Gosling, 19, merembat masuk bola yang terkena lawan hasil hantaran lintang Andy van der Meyde.
Liverpool dikurangkan kepada 10 pemain ketika baki 14 minit untuk ditamatkan dalam sepenuh masa apabila Lucas Leiva dilayangkan kad kuning kedua kerana menjatuhkan Joleon Lescott.
“Kami cukup kecewa, untuk bermain agak lama dengan 10 pemain dan untuk melepaskan gol seperti itu, pastinya ia sungguh mengecewakan” kata pengurus Liverpool, Rafa Benitez.
“Titik tolak perlawanan ini adalah kad kuning kedua ke atas Lucas. Saya tidak gembira, tetapi saya tidak mahu berkata apa-apa mengenai pengadil.”
Everton akan menanti kunjungan Aston Villa dalam kelompok 16 pasukan terakhir selepas skuad Martin O'Neill mengalahkan Doncaster 3-1. Blackburn menundukkan Sunderland 2-1 dalam masa tambahan untuk mengatur pertemuan dengan Coventry.
Derby bangkit untuk menyingkirkan Nottingham Forest 3-2 dan berikutnya akan berdepan Manchester United, yang mengalahkan kelab bahagian dua itu dalam saingan separuh akhir Piala Liga.
Perlawanan setempat Merseyside adalah yang ketiga dalam masa 17 hari, dengan keputusan seri 1-1 dalam Liga Perdana diikuti kemudian dalam piala, dan tampak agak sukar untuk memisahkan kedua-dua pasukan ini.
Perancangan Liverpool terencat selepas minit ke-15 apabila kapten Steven Gerrard, terhincut-hincut keluar padang dengan kecederaan kejang otot dan akan menjalani pemeriksaan imbasan.
Leon Osman mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan itu buat Everton pada minit ke-71, tetapi rembatan kencangnya tersasar.
Seperti Everton, Blackburn bergantung kepada pemain gantian Benni McCarthy yang menanduk masuk dengan baki dua minit untuk ditamatkan bagi meneruskan kemaraan. - AP
No comments:
Post a Comment