Tuesday, February 3, 2009

Torres beri nafas kedua buat Liverpool


TORRES (tengah) menanduk masuk ketika membantu Liverpool mengatasi Chelsea 2-0 dalam saingan EPL di Anfield, kelmarin.

LONDON: Dua gol sumbangan penyerang utama Liverpool, Fernando Torres mencetus suasana gembira di Anfield dan pegawai eksekutif televisyen pasti mengangkat gelas minuman sebagai tanda penghormatan kepada pemain itu kerana menjadikan saingan kejuaraan liga semakin menarik.

Hanya beberapa minggu lalu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) tampak menjadi saingan yang paling sengit sejak sekian lama dan jika bukan kerana kemenangan Liverpool ke atas Chelsea, juara bertahan Manchester United pastinya berada dalam kedudukan selesa.

United begitu sibuk melakarkan pelbagai rekod dengan 12 perlawanan tanpa melepaskan sebarang gol dalam liga, rentetan tujuh kemenangan berturut-turut yang meninggalkan pencabar terdekat tercungap-cungap mengejar.


Terdapat persoalan besar mengenai keupayaan pencabar United untuk kekal dalam saingan sehingga akhir musim.

Liverpool, yang tampak atas landasan untuk memenangi kejuaraan liga pertama sejak 1990 beberapa minggu lalu, hanya dua mata di belakang, walaupun United mempunyai kelebihan satu perlawanan.

"Kami tahu United adalah pilihan tapi kami tetap akan berjuang sehingga ke penghujung liga," kata Torres.

Fernando Torres

Kedudukan liga, bagaimanapun, tidak menceritakan situasi sebenar saingan.

Pada 13 Disember lalu, Liverpool berkebolehan untuk melebarkan jurang lapan mata ke atas United sebelum juara bertahan itu berlepas untuk beraksi dalam kejohanan Piala Kelab Dunia - namun The Reds hanya mampu seri 2-2 di tempat sendiri kepada Hull City.

Seminggu kemudian, mereka seri lagi dengan Arsenal, di sebalik Gunners beraksi dengan hanya 10 pemain.

Beberapa mata lagi dipersiakan Januari lalu, terutama seri dengan Stoke City dan Wigan, dan selain itu, pengurus, Benitez menimbulkan kebingungan ramai orang dengan taktik berhati-hati dan pemilihan pemain.

Kritikan ke atas pengurus United, Alex Ferguson, kemungkinan dibentuk untuk menggugat pencabar utamanya itu hanya memakan diri sendiri sehingga ia merangsang United menghambat Liverpool dan akhirnya memintas kelab itu.

Chelsea tercicir ke tangga ketiga, kelmarin - lima mata di belakang United dan jurang itu akan melebar kepada lapan mata jika United menang baki satu perlawanannya. - Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...