Saturday, February 21, 2009

Liverpool waspada ancaman City


BENITEZ (kanan) tidak mahu anak buahnya memandang rendah keupayaan City.




GERRARD tidak beraksi untuk Liverpool ketika menentang Manchester city malam ini ekoran
kecederaan.





LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak memandang rendah Manchester City apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi Liga Perdana England di Anfield malam ini.

Benitez sedar hanya kemenangan mampu meneruskan usaha mereka mengejar pendahulu, Manchester United.

Biarpun sepanjang musim ini Liverpool hanya tewas sekali tetapi skuad The Reds itu keciciran mata penting apabila sekadar mencatat keputusan seri ketika bertemu Stoke City, Fulham, West Ham, Hull City dan Everton di Anfield.

City pula mempunyai rekod buruk apabila beraksi di luar Eastlands dengan kemenangan 3-0 ke atas Sunderland pada Ogos lalu merupakan satu-satunya kemenangan mereka dalam 12 aksi di tempat lawan musim ini.

Namun, Benitez enggan melihat rekod City tersebut sebagai satu kelebihan sambil dia beranggapan skuad kendalian Mark Hughes itu akan hadir ke Anfield dengan barisan terbaik mereka.

"Anda boleh analisis bagaimana prestasi City di tempat lawan tetapi ia berbeza di Anfield. Semua pemain lawan mahu menunjukkan aksi terbaik mereka.

"Lupakan statistik mereka tetapi kita tumpukan kepada pemain-pemain hebat yang mereka miliki," kata Benitez.

Biarpun tidak dapat menurunkan Steven Gerrard yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring, Benitez tetap optimis kaptennya itu akan kembali beraksi apabila mereka bertemu Real Madrid pada aksi kalah mati Liga Juara-Juara Rabu ini.

"Gerrard tidak bersedia untuk perlawanan ini (bertemu City). Dia yakin dapat kembali untuk bertemu Madrid tetapi kita akan tentukan kedudukannya Isnin ini (esok)," jelasnya.

Hughes pula berharap pasukannya akan meraih kejayaan pada kunjungan ke Anfield kali ini, sekali gus memberi kekuatan baru buat pasukan bimbingannya itu.

Hughes turut berasakan jentera serangannya mampu mengambil kesempatan terhadap situasi Liverpool yang begitu terdesak untuk mencapai kemenangan di gelanggang sendiri.

"Mereka (Liverpool) telah dikecewakan beberapa pasukan lain di Anfield. Kami akan pastikan kami mencapai kemenangan pada perlawanan ini," ujar Hughes. - AFP



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...