Saturday, January 10, 2009

Liverpool tak terancam

Liverpool tak terancam






TORRES akan kembali memperkuatkan jentera serangan
Liverpool pada pertemuan menentang Stoke City hari ini.





LONDON - Debaran pertemuan Manchester United dan Chelsea dalam kempen Liga Perdana England esok semakin memuncak.


Namun, pengurus Liverpool, Rafael Benitez awal-awal lagi memberi
amaran bahawa pertemuan itu tidak langsung akan mengganggu rentak anak
buahnya.


Skuad The Reds itu akan berkunjung ke Stoke City hari ini, sehari sebelum United melayan kunjungan Chelsea di Old Trafford.


Di atas kertas, United dan Chelsea dilihat memiliki peluang terbaik
untuk bersaing dengan Liverpool bagi perebutan gelaran liga musim ini.


Begitupun, Benitez yakin konsistensi yang dipamerkan anak buahnya
musim ini tidak akan tergugat, lebih-lebih dengan kehadiran semula
penyerang prolifik, Fernando Torres serta Martin Skrtel yang pulih
daripada masalah kecederaan.


"Kami masih boleh tingkatkan prestasi kami," jelas Benitez.


"Skrtel tidak boleh beraksi sebelum ini, Javier Mascherano pula
semakin baik dan Steven Gerrard telah menunjukkan peningkatan. Lebih
penting, Torres kini telah kembali.


"Jadi, saya fikir pasukan ini mempunyai banyak pilihan yang boleh
meningkatkan tahap permainan kami. Secara jelasnya kami kini berada
pada kedudukan terbaik berbanding beberapa musim lalu," tambah
pengendali dari Sepanyol itu.


Dengan United hanya akan bertemu Chelsea Ahad ini, maka Liverpool
berpeluang melebarkan jurang kepada enam mata di hadapan skuad The Blues andai menang ke atas Stoke hari ini.


Liverpool kini menguasai kedudukan liga dengan 45 mata, tiga mata di hadapan Chelsea.


United pula berada di tempat ketiga dengan 38 mata, namun masih
memiliki kelebihan dua perlawanan berbanding Liverpool dan Chelsea.


Dalam pada itu, Liverpool dilaporkan telah menawarkan pemain sayapnya, Jermaine Pennant kontrak baru selama setahun.


Terdahulu, kelab gergasi Itali, AC Milan telah menawarkan
pra-kontrak kepada Pennant yang gagal mendapat tempat dalam skuad utama
The Reds musim ini. - Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...