LONDON - Penyerang sensasi Liverpool, Fernando Torres menegaskan bahawa dia akan terus kekal di Anfield walaupun pengurusnya, Rafael Benitez enggan melanjutkan kontrak bersama kelab The Reds itu musim depan.
Masa depan Benitez menjadi bahan spekulasi sejak kebelakangan ini selepas Liverpool gagal menawarkan kontrak lanjutan kepada pengendali dari Sepanyol itu.
Khabar terbaru mengatakan bahawa Benitez sedia meninggalkan Anfield musim ini, ter- utama jika Liverpool gagal meraih sebarang kejuaraan musim ini.
Namun, Torres yang dibawa oleh Benitez ke Anfield dari kelab Atletico Madrid dua musim lalu menjelaskan bahawa dia tidak akan mengikut jejak langkah pengurusnya itu.
"Masa depan saya tetap di Liverpool kerana saya masih mempunyai kontrak empat tahun di sini," jelas penyerang Sepanyol itu.
"Jika Rafael (Benitez) pergi, saya tetap kekal untuk memenuhi kontrak saya bersama kelab ini."
Begitupun, Torres tetap berharap agar kontrak Benitez bersama kelab England itu dapat dipanjangkan.
"Saya cuma ingin dia (Rafael) kekal bersama kami tetapi saya tidak tahu apa kesannya kepada saya andai dia pergi," tambah Torres.
Sebelum ini, Benitez mencetuskan teka-teki mengenai masa depannya di Anfield apabila menolak untuk menandatangani kontrak baru.
Ini kerana Benitez menuntut agar beliau diberi kuasa penuh berhubung perjanjian perpindahan setiap pemain The Reds. - Agensi
No comments:
Post a Comment