LONDON - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez naik angin terhadap Ryan Babel.
Dia mahukan pemainnya itu berhenti mengeluh dan tampil membuktikan kemampuannya di atas padang.
Minggu lalu, Babel menuduh Benitez mungkir janji untuk memberikannya lebih banyak peluang dalam kesebelasan utama kerana dia berhajat untuk beraksi dengan skuad kebangsaan Belanda pada Piala Dunia 2010.
Sebelum ini, pemain sayap dari Sepanyol, Albert Riera turut merungut kerana kurang diberi peluang beraksi dalam skuad utama Liverpool.
Namun awal pagi semalam, Benitez menegur kedua-dua pemain itu sambil mengarahkan mereka supaya melakukan tugas dengan baik di atas padang.
"Riera dan Babel mahu beraksi dan disebabkan mereka bermain di posisi yang sama, mereka perlu bersaing sesama sendiri.
"Tetapi mesej saya cukup mudah. Di atas padang, setiap pemain perlu membuktikan kemampuan mereka," tegas Benitez.
Babel turut meminta untuk dilepaskan secara pinjaman ke kelab asalnya, Ajax Amsterdam.
"Babel tahu dia tak boleh pergi sekarang. Jadi dia mahu memikat hati saya, dia perlu membuktikan kemampuannya. Dia seorang pemain yang bagus dan kami tahu bakat yang dia miliki.
"Dengan Piala Dunia semakin hampir, sebahagian besar daripada pemain mahu memikat saya dan jika mereka dapat melakukan dengan baik pada setiap sesi latihan, saya akan beri mereka lebih banyak peluang," jelas Benitez. - Agensi
No comments:
Post a Comment