LONDON - "Ada urusan yang belum diselesaikan dengan Croatia."
Demikian tegas kapten Liverpool, Steven Gerrard menjelang pertemuan kedua- dua pasukan pada aksi kelayakan Piala Dunia esok.
Bintang England itu masih berdendam dengan Croatia selepas anak buah Slaven Bilic itu menewaskan mereka 3-2 pada November lalu, sekali gus menutup peluang England beraksi di pusingan akhir Kejuaraan Eropah.
Ia memberi mimpi ngeri buat Gerrard kerana dia tidak terfikir England akan terlepas menyertai kejuaraan yang berlangsung di Switzerland dan Austria itu.
Justeru, hanya kemenangan pada aksi kelayakan pagi Khamis ini sahaja yang mampu menjamin kemaraan England ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan.
"Kami masih ada urusan yang belum selesai dengan Croatia," kata perancang liverpool itu.
"Kekalahan dulu sesuatu yang menyakitkan dan kini pusingan akhir Piala Dunia akan terjamin Rabu ini (pagi Khamis).
"Tumpas kepada Croatia pada 2007 di Wembley adalah saat paling mengecewakan bagi saya dalam karier bersama England.
"Kekalahan itu sangat sukar untuk dilupakan dan ia cukup mengecewakan, malah secara jujurnya, saya masih tidak boleh melupakannya hingga ke hari ini." - Agensi
No comments:
Post a Comment