Thursday, April 23, 2009

Benitez akui kelebihan milik United

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Rafa Benitez mengakui Manchester United berada dalam kedudukan mendahului untuk meraih gelaran selepas menyaksikan skuadnya mencicirkan dua mata penting di Anfield, semalam.

Pengurus Sepanyol itu menyalahkan “kesilapan besar” selepas skuadnya diikat dengan keputusan seri 4-4 oleh Arsenal, menyaksikan Andriy Arshavin menjaringkan kesemua empat gol bagi pasukannya, pemain pertama melakukan pencapaian seperti itu di Anfield dalam perlawanan liga sejak Denis Westcott melakukannya untuk Wolves pada 1946 dalam aksi perlawanan menarik.

Ironinya, mata itu memadai untuk melonjak semula Liverpool ke tangga teratas liga, memiliki mata sama dengan United tetapi memiliki kelebihan melalui perbezaan gol.

Bagaimanapun, United kini memiliki dua baki perlawanan berbanding lawan lain dan mengelak daripada mengalami bencana kejatuhan, kini berpeluang meraih gelaran domestik ketiga mereka untuk kali ketiga berturut-turut.

“Saya benar-benar kecewa kerana kami melepaskan empat gol,” kata Benitez.

“Perkara positif mengenainya adalah kami menjaringkan empat gol tetapi saya kecewa kerana melakukan banyak kesilapan.

“Kami bertarung dengan sukar dan kami akan terus melakukannya. Ia perlu menjadi seperti itu.

“Mereka (United) berada dalam kedudukan pendahulu dan jika mereka menang baki perlawanan mereka, keadaan akan menjadi lebih sukar bagi kami untuk memenangi gelaran.” 

Dengan berbaki lima perlawanan dan masih terdapat 15 mata untuk diraih, Benitez enggan mengaku kalah kepada United dalam saingan perebutan Liga Perdana.

Dia menegaskan skuad Sir Alex Ferguson masih perlu bekerja-keras untuk mencapainya. 

“Mereka perlu menang dan mereka masih perlu menentang Arsenal dalam saingan liga,” katanya. 

Selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara berikutan keputusan seri 4-4 di Chelsea, minggu lalu, Liverpool kini melepaskan lapan gol dalam dua perlawanan. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...