Wednesday, April 15, 2009

Kebangkitan luar biasa The Reds di Stamford Bridge



DARI kiri, Alonso, Lucas dan Kuyt masih-masing menjaringkan satu gol pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Stamford Bridge semalam.

LONDON - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez percaya kebangkitan luar biasa yang ditampilkan anak buahnya pada kempen Liga Juara-Juara kelmarin mampu memberi inspirasi baru terhadap misi skuad The Redsmenjulang trofi Liga Perdana England.

Terdahulu, Liverpool tersingkir daripada kempen Eropah selepas hanya mampu seri 4-4 pada aksi suku akhir kedua di Stamford Bridge awal pagi semalam.

Keputusan itu sekali gus menjadikan kedudukan agregat 7-5 setelah Liverpool tewas 1-3 pada aksi pertama di Anfield minggu lepas.

Biarpun kecewa apabila tewas kepada Chelsea dalam kempen Eropah buat musim kedua berturut-turut, Benitez bagaimanapun berkata, tidak ada sebab untuk terus bersedih.

Sebaliknya, Benitez yakin semangat juang yang dipamerkan anak buahnya telah membuktikan bahawa mereka memiliki karakter luar biasa untuk merampas kejuaraan Liga Perdana England daripada pendahulu, Manchester United.

Liverpool kini ketinggalan satu mata di belakang United dan akan berdepan aksi penting menentang Arsenal di Anfield Selasa depan.

"Kami tidak gembira dengan keputusan ini. Apabila kamu kalah, kamu akan kecewa tetapi untuk kalah dengan cara begini, pemain perlu berasa bangga dan cuba melupakannya.

"Kami telah menunjukkan karakter dan kualiti sebenar kami dan kami perlu berasa bangga.

"Pemain telah menjalankan tugas dengan hebat dan peminat juga akan puas hati dengan mereka.

"Kami boleh memenangi banyak perlawanan jika beraksi dengan mentaliti seperti ini," tambah pengurus kelahiran Sepanyol itu.

Pada aksi semalam, Fabio Aurelio dan Xabi Alonso meletakkan Liverpool selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.

Namun, Chelsea kembali 'mengganas' dengan tiga gol apabila penjaga gol Liverpool, Jose Reina tertampan bola ke gawang sendiri sebelum Alex dan Frank Lampard masing-masing meledak satu gol.

Lucas dan Dirk Kuyt kembali memberi harapan kepada peminat Liverpool apabila menambah gol ketiga dan keempat The Reds.

Lampard mengakhiri sisa-sisa perjuangan Liverpool apabila menjaringkan gol kedua peribadinya untuk menjadikan kedudukan 4-4 pada lewat perlawanan. - Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...