Sunday, April 26, 2009

The Reds belum menyerah



KUYT meledakkan dua gol buat The Reds ketika menang 3-1 ke atas Hull City kelmarin.


HULL - Liverpool masih berpeluang menjulang gelaran Liga Perdana England.

Demikian tegas pengurusnya, Rafael Benitez selepas mereka menewaskan Hull City 3-1 kelmarin.

Benitez mendedahkan bahawa mereka belum mahu menyerah dalam usaha merampas gelaran liga pertama kali sejak dua dekad lalu meskipun Manchester United kembali merampas takhta dengan kelebihan tiga mata selepas kemenangan 5-2 ke atas Tottenham Hotspur kelmarin.

Biarpun United masih menjadi pilihan untuk menjuarainya, Benitez tetap mahukan Liverpool menamatkan saingan musim ini dengan cemerlang, bermula dengan aksi menentang kelab bermasalah, Newcastle di Anfield minggu depan.

Jaringan Xabi Alonso pada babak pertama dan dua gol daripada Dirk Kuyt telah menghadiahkan tiga mata berharga kepada The Reds ke atas Hull.

Benitez tetap yakin dengan peluang pasukannya meskipun perebutan gelaran liga kini semakin memasuki fasa terakhir.

"Semuanya masih belum berakhir. Ini satu kemenangan yang penting kerana Hull memberi kesukaran kepada kami, tapi apa yang kami mampu lakukan ialah terus mencatat kejayaan dan lihat apa yang berlaku selepas ini," kata Benitez.

"Kami perlu memenangi semua baki perlawanan yang tinggal. Itu saja yang kami semua boleh lakukan. Keadaan Steven (Gerrard) menunjukkan peningkatan dan kami jangka dia akan boleh diturunkan dalam perlawanan selepas ini.

"Kami masih boleh memperbaiki prestasi tapi dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku." - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...