Monday, April 13, 2009

`Kami mampu bangkit’

LONDON: Jika Liverpool mahu meraih kejayaan tersohor dalam pertemuan getir menentang Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi esok, mereka perlu bergantung kepada pemain yang akan memainkan peranan utama- Fernando Torres.

Torres menjaringkan gol separuh lambung ketika dia melonjakkan koleksi golnya kepada 14 musim ini dengan dua jaringan ketika Liverpool membelasah Blackburn, 4-0, Sabtu lalu dan penyerang Sepanyol itu percaya keputusan itu membuktikan Liverpool masih mempunyai kekuatan untuk menjaringkan gol bagi melancarkan kebangkitan dalam pertemuan itu.

“Cara kami bermain sangat bagus dan baik untuk persediaan bagi menghadapi perlawanan itu,” kata Torres. “Kemenangan ini memberikan kami keyakinan selepas kekalahan 3-1 itu. Tapi, saya percaya yang pasukan ini boleh menjaringkan tiga gol di Stamford Bridge. Kami menang ketika beraksi di Manchester United, memang mereka turut menjaringkan gol, tapi kami masih menang 4-1.

“Chelsea mungkin bertahan, tapi saya ragu-ragu mereka akan melakukannya. Mereka juga mahu menjaringkan gol dan situasi itu akan memberikan kami peluang.”

Dalam pada itu, pengurus Liverpool, Rafael Benitez meletakkan Steven Gerrard (gambar) di bangku simpanan ketika bertemu Blackburn kerana kecederaan pangkal paha, tapi pemain tengah England itu pasti diturunkan dalam pertemuan menentang Chelsea.

Benitez berkata, beliau sanggup mengambil risiko dengan menurunkan kapten pasukannya yang cedera itu untuk pertemuan kedua di Stamford Bridge. 

Gerrard tidak bermain ketika Liverpool menang 4-0 ke atas Blackburn Rovers, Sabtu lalu, tapi Benitez berharap pemain itu akan segera sembuh bagi membantu pasukannya mengatasi defisit 3-1 di Stamford Bridge.

“Keadaannya sudah semakin pulih, tapi dia masih menjalani latihan bersama petugas perubatan kami,” kata Benitez.

“Dia akan menjalani satu lagi latihan dan selepas itu, kami akan menilai semula keupayaannya.

“Memang ada perubahan sekiranya dia bermain. Kami perlukan khidmatnya kerana dia tonggak kami. Semua boleh berubah sekiranya mereka boleh bermain. 

“Kami akan berbincang dengan doktor dan pemain itu sendiri sebelum perlawanan.

“Ia bukanlah satu risiko yang besar, tapi anda mungkin kehilangan seorang pemain untuk tempoh 10 hingga 15 hari dan tempoh itu sudah cukup berat.”

Chelsea pula tidak dapat menurunkan ketua pasukan, John Terry yang digantungan satu perlawanan selepas menerima kad kuning kerana mengasari penjaga gol Liverpool, Jose Reina pada perlawanan pertama. - Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...