Reina tak minat United
PENJAGA gol Liverpool, Pepe Reina membayangkan dia akan kekal di Anfield musim depan.
Masa depan bintang dari Sepanyol itu di Merseyside menjadi bahan bualan ramai sejak akhir-akhir ini selepas kempen tidak menentu Reds.
Reina sebelum ini pernah memberikan bayangan dia mungkin terpaksa meninggalkan kelab itu sekiranya mereka tidak mampu untuk bersaing merebut kejuaraan secara konsisten.
Bagaimanapun, Reina terangsang dengan peningkatan pasukan di bawah kendalian Kenny Dalglish dan dia percaya pemilik kelab dari Amerika, Fenway Sports Group akan mengeluarkan peruntukan untuk memantapkan skuad musim panas ini.
“Saya gembira, tenang dan selesa di sini,” kata Reina.
“Saya yakin keadaan pasti lebih bagus selepas ini dan harapnya projek baru dengan pemilik Amerika (Fenway Sports Group) adalah sesuatu yang menakjubkan.
“Memang benar (Rafael) Benitez membawa saya ke sini tapi ia tidak bermakna saya tidak gembira dengan (Kenny) Dalglish. Saya fikir beliau adalah pengendali paling sesuai buat Liverpool ketika ini.
“Daripada pemahaman saya dan berdasarkan apa yang saya kumpulkan daripada orang di sini, kami akan membawa masuk beberapa pemain penting, terus meningkat dan harapnya dalam satu atau dua tahun kami akan berada di tempat yang berhak diduduki Liverpool, iaitu bersaing merebut kejuaraan.” Reina sudah disebut-sebut sebagai sasaran musuh tradisi Liverpool, Manchester United, namun bekas penjaga gol Barcelona dan Villarreal itu menegaskan dia tidak bercadang untuk berhijrah ke Old Trafford.
“Saya tidak akan ke Manchester, ia bukannya hasrat saya,” katanya. “Saya tidak tahu sekiranya saya calon buat mereka, saya yakin mereka sudah menilai ramai penjaga gol, bukan setakat (David) De Gea atau Reina.”
No comments:
Post a Comment