LONDON: Maxi Rodriguez meledak hatrik keduanya dalam tiga perlawanan untuk membantu Liverpool menumpaskan Fulham 5-2 di Craven Cottage, semalam, bagi mencerahkan peluang mereka untuk layak ke Liga Europa.
Maxi meraih gol pertamanya seawal 31 saat dalam aksi Liga Perdana Ingegris itu sebelum penyerang Argentina itu meledak lagi pada minit ketujuh. Dirk Kuyt kemudian menjadikan kedudukan 3-0 jaringan gol dalam lima perlawanan berturut-turut.
Fulham yang tersentak, merapatkan kedudukan menerusi Moussa Dembele m-57 namun Maxi yang turut meledak tiga gol ketika menentang Birmingham City pada 23 April lalu, melepaskan rembatan jarak jauh 13 minit kemudian sebelum Luis Suarez menambah gol kelima Liverpool.
Steve Sidwell menjaringkan gol lewat untuk Fulham namun ia tidak memberi kesan kepada Liverpool yang kini mengumpul 58 mata.
“Ia adalah hari cemerlang buat kami,” kata pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher kepada Sky Sports.
“Kami bermain dengan baik sejak kebelakangan ini, tahap keyakinan cukup tinggi dan kami tidak sabar untuk aksi seterusnya.” Ketika Suarez menjadi nadi serangan Liverpool dengan larian pantas dan gerakan licik, penjaga gol Fulham dari Australia, Mark Schwarzer terpaksa bekerja keras apabila pelawat mendahului tiga gol selepas perlawanan memasuki 16 minit.
Schwarzer melakukan sepakan untuk mengeluarkan bola hantaran silang Suarez yang terkena pemain pertahanan namun bola menuju terus ke arah Maxi yang meledak gol pembukaan.
Dia gagal mengawal gawangnya dengan baik untuk membolehkan Liverpool menambah gol kedua namun kesilapan besarnya adalah gol ketiga dengan membiarkan rembatan lemah Kuyt melepasinya.
Schwarzer tidak boleh melakukan apa-apa dengan gol ketiga Maxi yang melepaskan rembatan dari jarak 25 meter sebelum jaringan sagu hati Sidwell ke penjuru gol Liverpool mengubat kehampaan.
Kemenangan Liverpool hadir sehari selepas seteru tradisi, Manchester United memerlukan satu mata lagi untuk memenangi liga serta memecahkan rekod yang dikongsi kelab Anfield itu dengan meraih 18 gelaran liga utama Inggeris.
Sejak Kenny Dalglish mengambil alih kelab lamanya itu pada Januari lalu, nasib Liverpool berubah agak mendadak dan bulan lalu mencatatkan dua kemenangan dengan jaringan 3-0 dan satu kemenangan 5-0.
“Kami sudah melakukan yang terbaik sejak Januari lalu, tahniah kepada pemain dan staf,” kata Dalglish. “Kami akan teruskannya dan lihat apa berlaku.” Reuters
No comments:
Post a Comment