Tuesday, May 10, 2011

Petikan Akhbar Utusan Malaysia 11/05/2011: Reds teruskan rentak kemenangan


Reds teruskan rentak kemenangan

Pemain Fulham, Chris Baird (kiri) mengasak pemain Liverpool, Maxi Rodriguez pada perlawanan Liga Perdana di Craven Cottage, London, semalam. – REUTERS


LONDON - Liverpool meneruskan rentak kemenangan untuk mengisi slot Liga Europa dengan Maxi Rodriguez meledak jaringan hatrik bagi membantu pasukannya membenam Fulham 5-2 di Craven Cottage semalam.
Rodriguez, yang menjaringkan tujuh gol dalam tiga perlawanan liga, meledak dua jaringan pada enam minit pertama, selepas gol sulung pemain itu dihasilkan ketika perlawanan baru bermula 32 saat.
Pemain tengah Argentina itu menyumbat gol keempat Liverpool menerusi rembatan cantik dari jarak jauh pada minit ke-70.
Penyerang Belanda, Dirk Kuyt menjaringkan gol ketiga bagi meletakkan Reds mendahului 3-0 pada minit ke-16. Jaringan tersebut merupakan gol kelima dalam lima perlawanan berturut-turut.
Penyerang Uruguay, Luis Suarez melengkapkan kemenangan pada minit ke-75 menerusi larian solo yang berjaya merobek pertahanan Fulham bagi membantu Reds naik ke tangga kelima dengan kelebihan dua mata di depan Tottenham.
Spurs, bagaimanapun kurang satu perlawanan.
Moussa Dembele dan Steve Sidwell menjaringkan dua gol sagu hati untuk Fulham.
“Ia merupakan keputusan yang luar biasa buat kami. Menjaringkan lima gol adalah sesuatu yang tidak kami duga,” kata pengurus Liverpool, Kenny Dalglish.
Pasukan bimbingan Dalglish semakin menghampiri jurang kepada empat mata dengan Manchester City, tetapi dengan hanya baki dua perlawanan, menyebabkan harapan Reds untuk ke layak ke Liga Juara-Juara sudah tertutup.
Ini merupakan kemenangan keenam dalam sembilan perlawanan terakhir Liverpool, yang meneruskan kebangkitan luar biasa di bawah Dalglish sejak dia mengambil alih jawatan pengurus daripada Roy Hodgson pada Januari lalu.
“Kami hanya akan dapat keputusan yang baik jika kami melaksanakan tanggungjawab yang diberi.
“Tiada siapa yang menduga kami mampu melangkah sehingga ke tahap ini sejak Januari lalu,” kata Dalglish. – AP

Arkib Artikel: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan_Luar_Negara&pg=sl_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...