KAPTEN Liverpool, Steven Gerrard (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Wigan, Emmerson Boyce dalam saingan EPL di Stadium JJB, kelmarin. Perlawanan berkesudahan seri 1-1. |
WIGAN: Rafa Benitez mengakui betapa Liverpool kini perlu segera bangkit selepas berdepan dengan satu lagi kejutan dalam pemburuan mereka meraih gelaran Liga Perdana Inggeris.
Selepas menginjak Januari di tangga teratas liga, Liverpool kini mendapati mereka tercicir dua mata daripada Manchester United yang masih mempunyai baki satu perlawanan selain mempunyai kelebihan jaringan, selepas Liverpool sekadar seri 1-1 dengan Wigan, kelmarin.
Hanya tujuh minit yang memisahkan Liverpool daripada mengumpul mata sama dengan United selepas mereka berada di depan menerusi jaringan Yossi Benayoun pada separuh masa pertama.
Namun, penyerang Wigan dari Mesir, Mido menjaringkan penalti pada lewat saingan, menyaksikan Benitez terpaksa kembali mentelaah kegagalan mereka mempertahankan kemenangan.
Kekecewaan melepaskan dua mata berharga di Stadium JJB menambah lagi rentetan keputusan perlawanan yang mengecewakan. Pesaing memburu kejuaraan liga, Chelsea akan bertandang ke Anfield, Ahad ini dan Benitez sedar pemainnya perlu bermain dengan lebih baik selepas terpaksa menerima keputusan seri ketujuh dalam 10 perlawanan liga.
“Apabila anda berada di puncak, anda perlu sedar setiap perlawanan adalah penting,” kata Benitez yang jelas kecewa.
“Perlawanan pada Ahad ini amat penting bagi kami. Kami tahu perlu bermain lebih baik.”
Benitez jelas tidak senang terhadap hakikat pemainnya tidak ditawarkan lebih banyak perlindungan daripada pegawai perlawanan yang keras dan tegang kelmarin.
“Separuh masa kedua begitu menggila,” katanya. “Memang gila.”
Bagaimanapun, jurulatih Sepanyol itu enggan mengulas lanjut kenyataan itu tetapi mengakui pasukannya gagal mempertahankan kedudukan di depan dan hakikat itu memang membimbangkan.
Perlawanan kelmarin menjadi dua saingan liga berturut-turut yang menyaksikan mereka terpaksa menerima keputusan seri selepas berada di depan. - AFP
No comments:
Post a Comment