Wednesday, January 28, 2009

Impian Liverpool semakin lenyap

LONDON: Impian Liverpool untuk memburu juara Liga Perdana Inggeris sejak 1990 semakin lenyap selepas hanya seri 1-1 dengan Wigan, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Rafael Benitez nyata tidak mampu menyaingi Wigan meskipun mendahului lawan, tetapi penalti pada lewat permainan menerusi penyerang Mesir, Mido menghampakan pasukan pelawat itu.

Malah, kemenangan Chelsea ke atas Middlesbrough 2-0 mengambil alih tempat Liverpool di tempat kedua dengan kelebihan perbezaan gol.


Bagaimanapun, Liverpool dan Chelsea seharusnya menerima hakikat bahawa kejuaraan liga kali ini adalah milik Manchester United (MU) selepas membelasah West Brom 5-0, semalam.

MU kini menjarakkan kedudukan dengan dua mata tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan berbaki.

Arsenal pula yang mahu memastikan tempat untuk Piala Juara-Juara Eropah musim depan agak terencat apabila hanya seri 1-1 dengan Everton.

The Gunners seharusnya berterima kasih dengan jaringan lewat Robin van Persie bagi menyamakan kedudukan selepas Everton mendahului menerusi Tim Cahill.

Gol Liverpool diperoleh menerusi Yossi Benayoun sebelum tamat separuh masa pertama.

Namun, selepas itu Wigan mengambil alih dengan mendominasi rentak permainan dan Liverpool pula gagal menggandakan serangan seolah-olah selesa dengan satu gol.

Mido, yang dipinjamkan dari Middlesbrough sehingga hujung musim ini, menjadi hero Wigan dengan mudah menewaskan Jose Reina.

“Kami mengawal permainan agak baik tapi kita tidak ada senjata untuk 'membunuh' lawan.

"Jika anda di kedudukan teratas liga dan perlu tahu setiap perlawanan itu sangat penting," kata Benitez yang hampa dengan persembahan anak buahnya. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...