Wednesday, January 28, 2009

Kisah Liverpool yang tidak konsisten, ada hati nak bersaing rebut EPL

JIKA Liverpool terus tersisih
daripada arus perjuangan Liga Perdana England musim ini, sebahagian
daripada masalahnya bukan sahaja berpunca daripada tahap persembahan di
medan pertempuran, malah juga di luar padang.

Dan menjelang menentang Wigan Athletic di Stadium JJB hari ini, pelbagai isu terus kedengaran dan diperkatakan.

Antaranya
tentu melibatkan kedudukan Robbie Keane yang enggan berada di tengah-
tengah penonton Anfield semasa Liverpool seri 1-1 dengan Everton dalam
Piala FA England gara-gara tidak disertakan dalam pemain simpanan bagi
perlawanan tersebut.

Dengan
pembelian pemain itu bernilai £20.3 juta, yang dianggap bayaran kedua
termahal dalam sejarah pasukan itu, Liverpool berharap bekas penyerang
Tottenham Hotspur itu dapat memberikan sumbangan yang lebih bererti dan
berkesan tetapi Rafael Benitez seperti hilang kesabaran dengan pemain
tersebut dari segi sumbangan dan jaringan.

Selain Keane, kedudukan Dirk Kuyt dan Daniel Agger juga menimbulkan persoalan, segalanya berhubung dengan kontrak baru.

Di medan pertempuran pula, Liverpool - sekalipun menguasai permainan - bagai kehilangan taring dan gagal mengecap kemenangan.

Lihat apa terjadi dalam tiga perlawanan terakhirnya.

Liverpool
kehilangan dua mata penting apabila sekadar seri 0-0 dengan Stoke City
pada 10 Januari lalu. Selepas itu, Liverpool juga tercicir lagi dua
mata gara-gara seri 1-1 dengan Everton pada 19 Januari.

Dan, dalam pertarungan menentang Everton dalam Piala FA England pada Ahad lalu, ia juga berkesudahan seri 1-1.

Kini, kedengaran pula sungutan kapten pasukan, Steven Gerrard, selepas pertarungan tersebut.

'Kami
telah menguasai permainan sepanjang 90 minit tetapi Everton
menjaringkan gol melalui set-piece. Ia sungguh mengecewakan,' jelas
Gerrard yang menyamakan kedudukan pada minit ke-54 selepas pasukannya
tercicir melalui jaringan Joleon Lescott pada minit ke-27.

'Tentunya,
anda akan berasa gembira jika anda dapat menjaringkan gol. Tetapi saya
lebih rela tidak menjaringkan gol asalkan pasukan saya menang,' tambah
Gerrard.

Jadi, yang menjadi
pertanyaan sekarang ialah mampukah Liverpool mengatasi Wigan untuk
meneruskan saingannya memburu mahkota Liga Perdana?

Masih samar-samar.

Namun
begitu, suka ataupun tidak, Liverpool perlu menang kerana Manchester
United - yang mengatasinya melalui perbezaan gol untuk berada di tangga
tangga pertama - dijangka tidak menghadapi masalah memungut mata
maksimum dalam pertarungannya menentang West Bromwich dinihari semalam.

Memang benar, Liverpool telah mengatasi Wigan 3-2 pada 18 Oktober lalu tetapi pertarungan itu berlangsung di Anfield.

Dan
yang lebih menarik lagi, Wigan yang meluru 2-1 melalui Amr Zaki,
pertama pada minit ke-29 dan kemudian pada minit ke-45, sebelum Alberto
Rierra menyamakan kedudukan pada minit ke-80 dan Dirk Kuyt menyambar
gol kemenangan lima minit kemudiannya.

Jika
ada perkara yang mungkin melegakan Benitez ialah Wigan kini kehilangan
dua pemain pentingnya, Wilson Palacios, yang berpindah ke Tottenham
Hotspur, dan Emile Heskey yang meneruskan kerjayanya dengan Aston Villa.

Pengurus Wigan, Steve Bruce, bagaimanapun telah mendapatkan tiga muka baru, Ben Watson, Mido dan Hugo Rodallega.

Jadi, apakah kesudahannya?

Mungkin seri.

Sebab,
Liverpool tidak konsisten dari segi jaringan dan Wigan pula ingin terus
memperbaiki kedudukannya. Di bawah kepimpinan Bruce, Wigan adalah
sebuah pasukan yang wajar diberikan perhatian.

Keputusan pertarungan pertama wajar menjadi peringatan kepada Benitez dan Gerrard.





Benitez tidak mampu bersaing di liga peringkat domestik tapi cemerlang di arena Eropah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...