LONDON - Ketua pasukan, Steven Gerrard berharap kemenangan hebat 4-1 yang dicatat Liverpool ke atas Manchester United mampu meningkatkan kepercayaan bahawa perebutan kejuaraan bola sepak Liga Perdana masih hidup.
Malah, bintang tengah England itu menegaskan, apa yang lebih penting daripada kemenangan tersebut, selain merapatkan jurang adalah membuka mata pasukan lain bahawa United sebenarnya boleh ditumbangkan, biarpun di tempat sendiri.
Gerrard mengakui, pada ketika United memegang kelebihan empat mata dan punya kelebihan satu perlawanan di tangan, Liverpool turut memerlukan bantuan daripada pasukan lain untuk menghidupkan peluang.
Skuad bimbingan Rafael Benitez kini merapatkan jurang dengan United kepada empat mata, berterima kasih kepada gol Fernando Torres, penalti Gerrard, jaringan Fabio Aurelio serta Adrea Dossena di Old Trafford, biarpun tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan menerusi penalti Cristiano Ronaldo di awal saingan.
Nasib United bertambah buruk apabila tonggak pertahanan Serbia, Nemanja Vidic pula dibuang padang di minit ke-76 pada kedudukan 2-1 selepas menjatuhkan Gerrard.
"Kami juga memerlukan tuah di sepanjang baki saingan, harap ada pasukan lain yang dapat mengalahkan Manchester United. Kemenangan kami ke atas mereka membuka mata pasukan lain bahawa mereka United juga boleh dikalahkan.
"Apa yang paling penting, kami dapat merapatkan jurang. Kami sedar Manchester United adalah pasukan yang hebat dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan,'' tegas Gerrard.
Boss United, Sir Alex Ferguson mengakui, jumlah jaringan yang membolosi pasukannya agak kejam tetapi menegaskan ia bukan alasan mereka harus menekan butang panik.
"Memang kami tidak berpuas hati, kami kalah perlawanan. Begitupun, kami kena menunjukkan reaksi yang betul daripada kekalahan ini.
"Kalau kita mengandaikan saingan liga baru bermula sekarang, maka kami sedang mendahului empat mata dan saya akan ambil cabaran itu,'' kata Ferguson. - AFP
No comments:
Post a Comment