Saturday, March 14, 2009

Liverpool belasah Man. United 4-1 (Utusan)

MANCHESTER – Liverpool mendapat nyawa baru dalam pemburuan mereka merebut kejuaraan Liga Perdana England musim ini selepas menewaskan Manchester United 4-1 pada perlawanan di Old Trafford, semalam.Walaupun di peringkat awal permainan ketinggalan satu gol hasil sepakan penalti Cristiano Ronaldo, Liverpool bangkit dengan permainan lebih kemas untuk menghidupkan peluang merapatkan jurang perbezaan mata.


KETUA pasukan Liverpool, Steven Gerrard (tengah) menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pasukannya ketika menentang Manchester United dalam pertemuan dua pasukan gergasi Liga Perdana England di Old Trafford, semalam. Liverpool menang 4-1. – REUTER

“Prestasi yang baik ditunjukkan dari bahagian pertahanan hingga serangan. Ia kemenangan yang hebat kerana bukan selalu kita boleh lihat United kalah 4-1, di tempat sendiri pula,” kata ketua pasukan Liverpool, Steven Gerrard.

Fernando Torres memulakan kebangkitan dengan gol penyamaan diikuti penalti Gerrard sebelum gol Fabio Aurelio dan pemain gantian, Andrea Dossena menambah derita United.

Lebih malang dua gol terakhir Liverpool hadir selepas tonggak pertahanan United, Nemanja Vidic dibuang padang kerana mengasari Gerrard pada minit ke-76.

Terdahulu kesilapan Vidic turut menjadi punca yang membolehkan Torres menjaringkan gol penyamaan selepas gagal mengawal kemas bola yang berjaya dicuri dari belakang.

Ketiadaan Vidic ternyata menjejaskan rentak dan perancangan United yang jelas bermain seperti hilang arah selepas itu.

Malah, kemasukan Ryan Giggs, Paul Scholes dan Dimitar Berbatov beberapa minit sebelum Vidic dibuang padang tidak banyak mengubah permainan longlai United.

Kekalahan itu bermakna musim ini, United ternyata gagal menewaskan Liverpool dalam liga domestik selepas tewas 1-2 pada perlawanan di Anfield pada September tahun lalu.

Namun, United masih kekal di puncak liga dengan kelebihan empat mata dan masih kurang satu perlawanan berbanding Liverpool.

“Memang sukar untuk menerima kekalahan ini terutama ketika kami merupakan pasukan yang lebih baik buat masa ini.

“Namun, kami perlu menerimanya walaupun tidak menyangka ia seburuk ini dari segi jumlah jaringan,” kata pengurus United, Alex Ferguson. – AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...