Thursday, March 26, 2009

Milik United lagi?

Milik United lagi?




MANCHESTER United pasti juara. 
Itu ramalan sebahagian besar pengikut Liga Perdana England musim ini. 
Berdasarkan reputasi, United memang layak bergelar juara, tetapi berdasarkan prestasi, peluang mereka agak samar.

Begitu pun, memang sukar membuat ramalan ketika ini kerana gaya persembahan pasukan tidak konsisten.

Tetapi, jika ada pasukan khususnya tiga kelab teratas dalam liga yang mampu mengekalkan konsistensi sehingga ke penghujung musim, gelaran juara bakal menjadi milik mereka.

Setakat ini, selepas mengharungi 30 perlawanan, kecuali United (29), rentak semua pasukan dalam liga tidak menentu.

Kadang-kadang, prestasi mereka memang luar biasa dan selepas itu, bagaikan hilang arah.


ALEX Ferguson tetap yakin United akan mengekalkan kejuaraan Liga Perdana England.


Liverpool misalnya, prestasi mereka di awal musim memang menakjubkan seolah-olah tiada siapa boleh menyekat mereka.

United pula bagaikan hilang fokus sebelum bangkit pada pertengahan musim sekali gus mengambil alih kedudukan sebagai pendahulu liga.

Chelsea pula tenggelam entah ke mana sehinggalah kemunculan Guus Hiddink, dan begitu juga dengan nasib Arsenal.

Ketika saingan liga masih ada lapan perlawanan lagi untuk diharungi, persoalan yang sering timbul sekarang ialah siapa yang bakal menjulang gelaran juara.

Adakah United, Liverpool, Chelsea atau pun Arsenal?

Berdasarkan rentak tiga pasukan teratas setakat ini, Liverpool dilihat berpeluang tetapi berdasarkan rekod lalu, skuad kendalian Rafael Benitez itu tidak akan mampu mengekalkan prestasi cemerlang sepanjang masa.

Mereka akan beraksi pada tahap paling teruk jika berdepan pasukan bawahan dan ia sudah terbukti sejak daripada awal musim lagi.

Memang mereka hebat apabila berdepan lawan yang gagah tetapi sekadar untuk beberapa ketika.

Lapan perlawanan yang bakal mereka harungi selepas ini tidak semudah yang dijangka kerana mereka akan berdepan ancaman Arsenal pada 21 April depan.

Selepas itu mereka juga berdepan Hull City di tempat lawan, pasukan yang mengejutkan mereka di Anfield pada pusingan pertama lalu.


PRESTASI cemerlang Anelka (kanan) boleh membantu mengubah kedudukan Chelsea dalam saingan liga.


United pula ada dua perlawanan sukar yang akan diharungi iaitu bertemu Aston Villa pada 5 April dan Arsenal pada 16 Mei di Old Trafford.

Turut dilihat sukar buat united ialah perlawanan menentang Tottenham Hotspur pada 25 April selain aksi menentang Manchester City pada 2 Mei.

Jika United mahu terus kekal mendakap gelaran liga, mereka perlu memang perlawanan tersebut.

Begitupun, Chelsea tidak boleh diketepikan kerana laluan mereka pada perlawanan seterusnya dilihat mudah kecuali aksi menentang Arsenal di Emirates pada 9 Mei depan.

Andai Chelsea terus gagah melakar kemenangan, gelaran juara boleh menjadi milik mereka dengan syarat pesaing mereka, Liverpool dan United kembali melalui prestasi hambar.

United yang memburu kejuaraan hatrik selepas 2007 dan 2008 kini masih bermegah dengan status sebagai pendahulu selepas mengumpul 65 mata meninggalkan Liverpool dengan perbezaan satu mata.

"Memang jelas sekali persaingan musim ini begitu sengit membabitkan United dan Liverpool. Begitu juga dengan Chelsea," jelas pengulas sukan, Serbergeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby.


KAPTEN Liverpool, Steven Gerrard akan memastikan Liverpool terus bersaing untuk memburu gelaran juara liga.


Begitupun, Shebby yang juga bekas pemain kebangsaan mengakui kelebihan sebenarnya lebih memihak kepada Liverpool berbanding dua pencabarnya.

"Tidak dinafikan lagi Liverpool adalah calon juara musim ini dan saya sendiri sejak dari awal meramalkan skuad kendalian Rafael Benitez ini akan muncul juara.

"Liverpool mungkin memiliki kelebihan dua atau tiga mata di hadapan United pada akhir musim ini nanti. Peluang Chelsea pula begitu tipis dan kelab itu lebih berhak berada di tangga ketiga," tambahnya.

Apa pun ramalan yang diberikan, persaingan sebenar belum berakhir dengan baki lapan perlawanan selepas ini bakal menjadi penentu kepada nasib United, Liverpool mahupun Chelsea.

Kehebatan sebenar Liverpool, iaitu pasukan yang berjaya meledak 13 gol daripada tiga perlawanan terakhir bakal diuji apabila mereka berkunjung ke Craven Cottage menentang Fulham 4 April ini.

Perlu diingat, semangat Fulham kini berada pada tahap tertinggi selepas kejayaan menewaskan United di gelanggang yang sama minggu lalu.

United pula perlu mengharapkan semangat Old Trafford untuk terus kekal bersaing apabila lima daripada lapan perlawanan selepas ini menyaksikan mereka turun selaku tuan rumah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...