Kemenangan 5-0 menentang Aston Villa, baru-baru ini, adalah rekod bersih yang ke-100 buat Reina mewakili Reds dan bermakna pemain Sepanyol itu adalah penjaga gol terpantas dalam sejarah kelab itu yang berjaya melakukannya.
Ia statistik yang mengagumkan kapten Anfield itu yang juga mengetengahkan sumbangan Reina terhadap kualiti membanggakan Liverpool kebelakangan ini.
“Kami benar-benar gembira dengan penjaga gol yang kami miliki di Liverpool dan setakat yang saya tahu, Pepe adalah yang terbaik di dunia di posisinya ketika ini,” kata Gerrard.
“Jadi kita tahu betapa bagusnya dia dan dia adalah antara penjaga gol terbaik dunia,” katanya.
Sementara itu, Gerrard menjangkakan pemain remaja Reds, Jay Spearing bersaing untuk membarisi kesebelasan utama di Anfield tidak lama lagi.
Pemain berusia 20 tahun itu membuat penampilan sulung menakjubkan, ketika membelasah Real Madrid 4-0, awal bulan ini, dan Gerrard percaya graduan akademi itu memiliki segala apa yang diperlukan untuk memberi kesan dalam barisan senior Rafa Benitez.
“Saya berpuas hati dengan Jay kerana saya fikir beberapa orang pasti akan terkejut dengan cara dia bermain selepas menentang Real Madrid tetapi saya bukan seorang daripada mereka,” kata kapten Liverpool.
“Pertama sekali anda harus memberi pujian terhadap pengurus yang memberi peluang kepada pemain muda untuk perlawanan besar dan Jay sudah pastinya tidak mengecewakan beliau.
“Saya melihatnya berlatih sepanjang masa dan dia mempunyai sentuhan yang baik, hantaran bolanya sempurna dan dia melakukan segala-galanya dengan mudah dan alangkah bagusnya untuk melihat dia menunjukkan kualiti permainannya dalam perlawanan seperti itu,” katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment