LONDON – Pengurus Liverpool, Rafael Benitez masih belum pasti mengenai peluang bintang Sepanyol, Fernando Torres untuk diturunkan pada aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Anfield pagi esok.
Torres terlepas dua perlawanan terakhir selepas mengalami kecederaan buku lali ketika Liverpool menang 1-0 ke atas juara Liga Sepanyol itu pada aksi pertama di Bernabeu.
Kelmarin, pemain itu dilihat menjalani latihan ringan, namun kelab mengesahkan Torres masih lagi belum cergas.
Juara Eropah lima kali itu pastinya menjadi pilihan di Anfield untuk menyingkirkan Real, juara sembilan kali kempen ini, sekali gus melangkah ke suku akhir.
Namun, ini adalah minggu yang penting buat Liverpool apabila perlu berdepan Manchester United, Sabtu ini dalam usaha mengejar kedudukan pendahulu Liga Perdana England itu.
“Apabila kamu bermain dua perlawanan dalam seminggu, bukan mudah untuk membuat persiapan bagi perlawanan seterusnya,” kata Benitez.
“Jadi minggu ini adalah sangat penting. Ada banyak perlawanan yang penting musim ini tetapi dua pertemuan minggu ini mampu membawa perubahan yang besar.
“Amat penting untuk turun menentang Real dengan keyakinan yang kami akan menang dan tidak memikirkan tentang perkara lain.
“Apa yang pemain perlu elakkan ialah memikirkan yang kami telah layak dan ia satu perlawanan mudah.”
“Jelas sekali Real adalah sebuah pasukan yang bagus. Prestasi mereka dalam Liga Sepanyol juga semakin baik. Kami menang di Bernabeu yang mana sangat bagus tetapi lebih penting kami menamatkannya di Anfield.” – Agensi
No comments:
Post a Comment