Wednesday, March 11, 2009

The Reds, Blues ke suku akhir


FERNANDO Torres (dua dari kiri) menjaringkan gol melepasi Iker Casillas (kiri) sambil diperhatikan Steven Gerrard di Stadium Anfield, Liverpool, kelmarin. - AP

LONDON - Liverpool membelasah Real Madrid dengan kemenangan besar 4-0 untuk mara ke suku akhir persaingan bola sepak Liga Juara-Juara kelmarin manakala pencabar Liga Perdana, Chelsea seri 2-2 dengan Juventus di Turin untuk mara menerusi agregat 3-2.

Bayern Munich turut meluncur ke suku akhir dengan membenam Sporting Lisbon dari Portugal 7-1 di Jerman dan 12-1 sepanjang dua perlawanan bagi satu rekod kemenangan agregat Liga Juara-Juara yang mengatasi Olympique Lyon membelasah Werder Bremen 10-2 pada musim 2004-05.

Villareal menang 2-1 di Athens ke atas Panathinaikos untuk mara dengan agregat 3-2.

Real yang ketinggalan 1-0 daripada perlawanan pertama, gagal menandingi corak menyerang di Anfield yang menyingkirkan pasukan Sepanyol itu pada pusingan kedua bagi musim kelima berturut-turut.

"Apabila anda bermain menentang Real Madrid, anda pasti menjangkakannya sengit," kata pengurus Liverpool, Rafael Benitez, seorang peminat Real dan bekas jurulatih pasukan belia di Bernabeu.

"Namun kami bermain amat baik. Di tempat lawan, kami bermain dengan cemerlang dan kini kami tunjukkan mereka bahawa kami mampu bermain dalam cara yang berbeza," katanya.

Ia merupakan kekalahan terburuk Real dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara dan kepulangan yang menyedihkan ke England buat jurulatih Juande Ramos selepas dipecat oleh Tottenham Hotspur pada Oktober tahun lalu.

Dirk Kuyt mengumpan kepada Fernando Torres untuk menyudahkannya selepas sembilan minit dan sepakan penalti Steven Gerrard terus menjadikan Liverpool lebih selesa selepas Gabriel Heinze terpegang bola.

Penjaga gol Real, Iker Casillas beberapa kali menyekat keaiban yang lebih besar dalam babak permulaan tetapi juara Eropah sembilan kali itu tidak berpeluang untuk bangkit lagi.

Mereka dihukum dengan larian deras pemain tuan rumah, Ryan Babel dan lintangannya yang disudahi Gerrard, dua minit kemudian selepas rehat manakala pemain gantian, Andrea Dossena menambah gol pada penghujung perlawanan.

Chelsea meneruskan prestasi baik mereka di bawah jurulatih sementara, Guus Hiddink apabila pasukan London itu bangkit dua kali daripada ketinggalan satu gol untuk menyingkirkan Juventus bimbingan Claudio Ranieri dalam satu perlawanan yang kontroversi.

Vincenzo Iaquinta merembat gol pasukan Itali itu mengatasi Petr Cech sebelum Michael Essien yang mula bermain sejak Ogos lalu, menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.

Gol Essien tiba hanya selepas Chelsea menyangka mereka sudah terikat apabila sepakan bebas Didier Drogba ditolak ke tiang dan didakap oleh penjaga gol Gianluigi Buffon.

Pengadil memutuskan tidak membenarkan gol itu tetapi ulang tayang menunjukkan bola itu sudah melepasi garisan gol.

Juve kehilangan Giorgio Chiellini yang dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua ketika baki 20 minit.

Mereka mendapat harapan apabila Alessandro del Piero menyempurnakan penalti minit ke-74 selepas Juliano Belletti terpegang bola tetapi pemain Brazil itu menebusnya apabila melakukan hantaran lintang buat Drogba yang menyumbat gol tunggal perlawanan pertama, untuk menjadikan Juventus sukar menyaingi mereka tujuh minit sebelum masa tamat.

Selepas menjaringkan lima gol menembusi benteng lemah Sporting di Lisbon, Bayern memerlukan lapan minit untuk menewaskan Portugal menerusi Lukas Podolski. - Reuters



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...