Sunday, March 22, 2009

Usah pertikaikan keagungan Reds (Kosmo)




ENGLAND - Andai ada yang menganggap kemenangan besar Liverpool ke atas Manchester United di Old Trafford minggu lalu sebagai nasib, ia adalah tanggapan yang silap.

Ia bukan nasib, sebaliknya ia dicapai berdasarkan prestasi cemerlang dan memang layak kelab dari Anfield itu membelasah musuh tradisi mereka dengan jaringan yang besar.

Begitu juga dengan kemenangan 4-0 ke atas Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara, dan ia dicapai ekoran prestasi mereka yang sedang berada di puncak.

Jika ada di antara peminat bola sepak tempatan mahukan bukti kehebatan Liverpool, The Reds sudah menjelaskannya di gelanggang perlawanan.

Satu demi satu lawan dibelasah dan terbaru ialah Aston Villa.

Semalam, Liverpool terus tampil bergaya apabila memusnahkan Villa 5-0.

Kemenangan itu terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam liga dan kini hanya dipisahkan dengan perbezaan satu mata daripada pendahulu, United yang sudah mengumpul 65 mata.

Begitupun, United masih ada kelebihan satu perlawanan berbanding Liverpool.

Apa yang dibuktikan Liverpool memang sungguh menakjubkan kerana telah menghasilkan 13 gol dalam tiga perlawanan.

Pada separuh masa pertama sahaja, skuad bimbingan Rafael Benitez itu sudah selesa mendahului 3-0.

Jaringan tersebut memang tidak diduga kerana perlawanan baru berlangsung separuh jalan.

Namun, apa yang dibuktikan oleh The Reds itu membuktikan banyak kebenaran daripada kenyataan Benitez bahawa mereka sudah bersedia memusnahkan sesiapa sahaja selepas ini.

Pada aksi semalam, Liverpool hanya mengambil masa lapan minit untuk mendahului Villa.

Jaringan pembukaan itu hadir menerusi rembatan Dirk Kuyt dari dalam kotak penalti hasil sepakan percuma daripada Steven Gerrard.

Selepas itu mereka terus garang seperti Harimau yang sedang lapar membaham mangsa.


KUYT (kanan) bersaing dengan penyerang Villa, John Carew (tengah) pada aksi Liga Perdana England di Anfield semalam.


Larian Gerrard di kawasan tengah sudah cukup untuk mengkucar-kacirkan benteng lawan.

Hasilnya, mereka mudah mencari ruang untuk menambah jaringan.

Ketika perlawanan berusia 33 minit, Liverpool sudah memperoleh gol kedua menerusi percubaan Alberto Reira dan enam minit selepas itu, Gerrad pula mencatat nama sebagai penjaring untuk gol ketiga pasukannya hasil daripada sepakan penalti.

Pengadil menghadiahkan sepakan tersebut selepas pertahanan Villa menjatuhkan Reira dalam kotak penalti dan Gerrard yang mengambil tugas tersebut mudah menyempurnakannya.

Dalam keadaan tertekan, Villa turut mendapat beberapa peluang untuk mengurangkan jurang gol.

Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-31 menerusi percubaan Luke Young, tetapi rembatannya diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Pepe Reina.

Pada separuh masa kedua, rentak Liverpool semakin garang.

Serangan bertali arus dan pertahanan lawan terus dipaksa bekerja keras.

Selepas empat minit babak kedua bermula, The Reds sudah mendahului 4-0 menerusi sepakan percuma daripada Gerrard di luar kotak penalti.

Kegarangan mereka tidak terhenti setakat itu, sebaliknya terus melancarkan gerak berbahaya.

Sebaik perlawanan memasuki minit ke-65, Liverpool sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti dan seperti diduga, Gerrard mudah menyempurnakannya untuk membolehkan mereka mendahului 5-0.

Ia juga merupakan jaringan hatrik daripada Gerrard pada perlawanan tersebut.

Untuk menambahkan lagi malam derita Villa itu, penjaga gol Villa, Brad Friedel pula dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas mengasari Fernando Torres.

Menyedari kedudukan yang sudah begitu selesa itu, Benitez melakukan beberapa pertukaran untuk memberi ruang kepada pemain mudanya.

Namun, Liverpool tetap sukar untuk dijinakkan. - Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...