LONDON - Rafael Benitez (gambar kanan) menamatkan teka-teki mengenai masa depannya bersama Liverpool apabila menyambung kontrak bernilai 20 juta pound (RM104.4 juta) untuk kekal di Anfield hingga 2014.
"Jiwa dan raga saya bersama kelab Liverpool, jadi saya menerima kontrak baru ini dengan gembira," kata Benitez.
"Saya sayangkan kelab ini, peminatnya dan juga bandarnya. Liverpool sebuah kelab yang memiliki peminat yang menakjubkan, jadi saya tidak sanggup menolak tawaran ini.
"Saya selalu menjelaskan bahawa saya mahu berada di sini selama yang boleh. Apabila saya bersetuju dengan kontrak baru ini, ia bermakna saya telah menghabiskan masa lebih sedekad di Liverpool."
Pengurus dari Sepanyol itu menangguhkan tawaran baru tersebut hampir dua bulan, sekali gus mencetuskan persoalan tentang masa depannya.
Penangguhan itu atas permintaan Benitez yang mahu diberi lebih kuasa untuk mengawal perpindahan dan peranan yang lebih penting dalam akademi kelab The Reds.
Namun, beliau dan pemilik Liverpool dari Amerika Syarikat, Tom Hicks dan George Gillett telah bersetuju untuk berkompromi dalam sebarang perkara mengenai perpindahan dan diberi jaminan mengenai masa depan kelab tersebut.
Benitez yang bakal menerima gaji sekitar 85,000 pound (kira-kira RM444,800) seminggu, mempunyai baki satu tahun lagi dalam kontraknya.
Begitupun, beliau menegaskan mahu kekal dan mencipta satu lagi dinasti di Anfield serta memutuskan untuk membuktikannya selepas ini.
Benitez mula membimbing kelab The Reds itu pada 16 Jun 2004 selepas menghabiskan tempoh tiga musim di Valencia.
Bersama kelab Sepanyol itu, beliau berjaya memenangi dua gelaran Liga Sepanyol dan satu kejuaraan Piala UEFA. - Agensi
No comments:
Post a Comment